Sunday, January 22, 2012

BN Untuk Orang Muda KUALA LUMPUR, 23 Nov. – Slogan ‘BN Untuk Orang Muda’ adalah bukti pengiktirafan pucuk pimpinan parti kepada golongan muda dalam memastikan bahawa kelompok tersebut terbabit dalam pentadbiran dan memajukan negara. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melihat bahawa Presiden BN merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggambarkan kepada semua pihak bahawa peranan golongan muda adalah amat penting dalam memastikan kesejahteraan dan kestabilan berkekalan. “Slogan ini jelas sekali gambarkan bukan saja peranan yang dimainkan oleh golongan muda tetapi juga sesuai dengan peratusan golongan generasi tersebut yang tentunya mempunyai kuasa dalam memilih kerajaan bagi mentadbir negara selepas pilihan raya akan datang,” katanya dalam temubual eksklusif bersama UMNO-Online. Jelasnya, jumlah pengundi muda iaitu generasi di bawah usia 40 tahun adalah besar iaitu mencapai 38 peratus daripada keseluruhan pengundi. “Sudah tentu generasi muda ini akan memainkan peranan besar bagi menentukan kepimpinan akan datang yang secara tak langsung dapat memastikan generasi tersebut turut bersama-sama kepimpinan BN apatah lagi golongan ini seringkali dikaitkan sebagai golongan atas pagar. “Dengan adanya ‘BN Pilihan Orang Muda’ maka pastinya kita mahukan kelompok ini untuk bersama-sama dengan kita dan mencorakkan masa depan akan datang,” katanya. Slogan ‘BN Pilihan Orang Muda’ telah dilancarkan untuk Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia di depan lebih 4,000 orang perwakilan kedua-dua sayap itu yang mewakili setiap bahagian seluruh negara Ahad lalu oleh Datuk Seri Najib sendiri dalam majlis Amanat Presiden kepada pergerakan terbabit. “Saya yakin dan percaya ini adalah aspirasi Presiden parti terhadap kedua-dua sayap muda atas keyakinan bahawa kedua-dua sayap ini dapat memberi impak terhadap apa yang beliau transformasikan sama ada dalam politik dan sebagainya,” katanya. Walaupun begitu, katanya di peringkat parti kita masih perlukan banyak tindakan yang sebahagiannya perlu dimainkan oleh kedua-dua sayap khususnya dalam menarik generasi muda untuk memberikan sokongan kepada parti. “Perbezaan yang dialami kali ini amat berbeza sekali kerana Presiden telah mengambil peluang dengan mengadakan sesi khas untuk generasi muda secara berasingan daripada trend yang biasa yang tentunya memfokuskan kepada amanat yang akan dibawa oleh kedua-dua pergerakan ini untuk masa akan datang bagi dibawa keperingkat akar umbi khususnya sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum,” katanya. – Petikan dari MediaUMNO. Posted by Admin Puteri at 5:45 PM Email ThisBlogThis!Share to TwitterShare to Facebook

No comments:

Post a Comment