Monday, January 23, 2012

Jika kita selami semula sejarah silam kita, pasti kita mengagumi kehebatan para sahabat Rasulullah s.a.w. Tarbiyah yang diserapkan oleh Rasulullah s.a.w ke dalam jiwa mereka membuahkan hasil yang cukup manis. Terbinalah rijal-rijal yang melangkah ke merata dunia hingga terbinanya khilafah Islamiyyah. Apa sebenarnya rahsia tarbiyah Rasulullah s.a.w? Allah menyifatkan para sahabat di dalam firmanNya : “ Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih saying sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah s.w.t dan keredhaanNya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud…” (Surah Al-Fath : 29) Diantara cirri-ciri para sahabat yang dengan merekalah terasasnya generasi Al-Quran yang unggul ialah : 1. Kekuatan aqidah Ciri utama yang menonjol hasil daripada pembentukan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap para sahabat ialah keteguhan iman atau kekuatan aqidah. Usaha Rasulullah s.a.w terhadap permasalahan pembentukan iman ini dilakukannya secara gigih, berterusan dan tanpa tolak ansur. Kesan daripda pembentukan iman itu telah melahirkan manusia yang mengenal dirinya sebagai hamba Allah s.w.t. dari pembentukan ini lahirlah manusia-manusia yang meletakkan seluruh hidup dan matinya untuk mentaati perintah-perintah Allah s.w.t. Mereka takut hanya kepada Allah dan tidak takut kepada manusia. Mereka tidak takut kepada manusia sekiranya itu akan membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Mereka sanggup menghadapi kemurkaan manusia dan kesan-kesan buruk kejahatan manusia asalkan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi sumber kepada kekuatan-kekuatan lain di dalam generasi Al-Quran. Di dalam semua medan kehidupan, baik dalam ketinggian akhlak ataupun ketahanan ketenteraan, merekalah umat yang paling menonjol di dalam tamadun manusia ketika itu. Hakikat kekuatan ini berpusat dalam jiwa, iaitu kekuatan iman dan bukannya bilangan. 2. Berpegang teguh dan bersikap tegas dengan prinsip Hasil daripada kekuatan aqidah, maka lahirlah orang-orang yang berpegang teguh dengan dasar-dasar yang mereka perjuangkan. Mereka mempertahankan dasar-dasar tadi dengan penuh cemburu dan tidak rela ianya ditolak ansurkan. Mereka sanggup berpisah dengan orang-orang yang mereka kasihi dan mengasihi mereka sekiranya orang-orang tersebut menjadi penghalang dalam mereka mencintai Allah s.w.t dan rasulNya. Firman Allah s.w.t : “ Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai dari Allah s.w.t dan RasulNYa dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah s.w.t mendatangkan keputusannya. Allah s.w.t tidak memberikan pimpinan kepada orang-orang yang fasiq.” (Surah At-Taubah : 24) Mereka sanggup memisahkan diri mereka dari sebarang pihak yang menentang Allah s.w.t dan RasulNya, sekalipun jika terpaksa berhadapan dengan bapa-bapa dan saudara mara mereka di dalam peperangan. Firman Allah s.w.t : “ Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (Surah Al-Kafirun : 1-6) 3. Berkasih sayang sesama mukmin Firman Allah s.w.t : “…. Yang bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin.” (Surah Al-Maidah : 54) Mereka menjadi penolong dan pelindung di antara satu sama lain. Pertolongan dan perlindungan yang mereka berikan terhadap satu sama lain adalah di atas dasar keimanan yang mendalam kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah s.w.t dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan perlindungan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung melindungi.” (Surah Al-Anfaal : 72). Kasih sayang yang mereka berikan terhadap satu sama lain telah mencapai peringkat di mana mereka mengutamakan saudara-saudara mereka melebihi diri mereka sendiri walaupun mereka dalam kesulitan dan kesusahan. Dengan kasih sayang ini jadilah mereka satu generasi yang bersatu padu, kukuh dan mendukung sepenuhnya segala perintah Allah s.w.t dengan menyembah Allah s.w.t sepenuhnya. Firman Allah s.w.t. : “Sesungguhnya ummah (ajaran tauhid) ini adalah ummah kamu semua, ummah yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”. (Surah Al-Anbiya’ : 92) 4. Mendukung sepenuhnya dakwah dan jihad Mereka juga adalah satu generasi yang benar-benar menjaga amanah dakwah dan jihad yang telah disyariatkan oleh Allah s.w.t melalui RasulNya. Bagi mereka kemuliaan adalah dengan menjadikan diri sebagai hamba-hamba Allah s.w.t yang patuh dan taat sepenuhnya kepadaNya. Sedangkan kepatuhan ini tidak mungkin dapat tercapai tanpa melaksanakan dakwah dan jihad. Dalam kehidupan mereka tidak dapat dipisahkan dengan tugas melakukan amar makruf dan nahi munkar. Mereka sama sekali tidak mengizinkan dunia dikuasai oleh kegelapan dan kebatilan. Dalam masa yang sama mereka tidak henti-henti bekerja dan berjuang bagi memastikan bahawa kalimah tauhid sentiasa berada di tempat yang teratas sekali. Mereka tidak takut celaan dan penghinaan daripada musuh-musuh. “… yang berjihad dijalan Allah s.w.t, dan yang tidak takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela.” (Surah Al-Maidah : 54) Bagi mereka perjuangan mereka di dunia ini cuma berakhir dengan dua perkara : Berjaya menewaskan golongan kafir yang beerti mereka akan mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t kelak, ataupun terkorban di jalan Allah s.w.t yang beerti memperolehi syahid – Sesutu yang mereka idam-idamkan. Oleh itu, mereka merupakan satu generasi yang bersih dari penyakit yang selalu menjadikan jiwa manusia kerdil, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Tetapi sebaliknya mereka adalah satu generasi yang cinta dibangkitkan oleh Allah s.w.t kelak di hari akhirat berlumuran dengan darah-darah syuhada’ yang harum dan suci. Oleh kerana itu mereka sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkannya melalui dakwah dan jidah yang berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w : “Siapa yang cinta menemui Allah s.w.t, nescaya Allah s.w.t cinta pula untuk menemuinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 5. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Allah s.w.t dan RasulNya Generasi Al-Quran adalah generasi yang memenuhi tuntutan member kesetiaan yang telah disyaratkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran. “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah s.w.t, Rasulnya, orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah s.w.t, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya golongan Allah itulah yang pasti menang.” (Surah Al-Maidah : 55-56) Kesetiaan mereka yang tinggi kepada Allah s.w.t, RasulNya dan orang-orang yang beriman hinggakan Allah s.w.t memberikan jaminan kepada RasulNya. Sikap tidak ragu-ragu dalam berkorban untuk Islam dan melaksanakan jihad fisabilillah telah menjadikan mereka tidak diperdaya dengan kehidupan dunia dan tarikan-tarikannya. “Katakanlah : kesenangan dunia itu hanya sedikit( sebentar) dan akhirat lebih baik untuk orang yang bertakwa.” (Surah An-Nisa’ : 77) 6. Kembali menurut jejak langkah generasi Al-Quran Setiap mukmin hendaklah menjadikan generasi para sahabat sabagai contoh dan sumber inspirasi di dalam perjuangan mereka untuk menegakkan Islam. Berikut adalah beberapa perkara utama untuk difahami oleh umat Islam masakini, dalam kita mencontohi jejak langkah mereka untuk menjadi satu umat yang berpegang teguh dengan Al-Quran. · Penuh keyakinan bahawa Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t . · Pendekatan yang seimbang dalam memahami dan melaksanakan tuntutan-tuntutan Al-Quran. · Membebaskan diri daripada sebarang unsur jahiliyyah.

No comments:

Post a Comment