Bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian
Posted on January 30, 2009 by Noor Syuhada
Firman Allah dari surah Al-Balad, ayat 4:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia sentiasa dlm perjuangan yg sukar dan penat” (90:4)
Cuba kita hayati firman Allah di atas. Ini adalah sumpahan tetap dari Allah bagi menyatakan hakikat sebenar hidup manusia. Allah menegaskan kepada umat manusia bahawa kita sebagai manusia sentiasa berada dalam perjuangan sehinggalah ajal memanggil kita. Jadi, kita sebagai hamba-Nya, perlukah kita merungut tentang apa yang kita lakukan seharian? Padahal apa yang kita lakukan dan segala dugaan Allah kepada kita tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan umat-umat manusia sebelum kita ini.
Perjuangan bermula
Dari Tafsir Fidzil Al-Quran telah dinyatakan bahawa perjuangan kita sudah bermula seawal alam roh lagi. Di alam itu, kita sebagai janin berusaha untuk membentuk diri yang sempurna dengan mencari makanan dan suasana yang sesuai untuk pembesaran yang baik. Masa itu, janin telah berusaha dan berjuang untuk menjadi sesempurna mungkin. Sempurna dari segala sifat-sifat dengan izin Allah.
Terima kasih juga kepada ibu yang menjaga pemakanannya untuk kita membesar dengan baik. Ibu juga berjuang dengan penat lelahnya selama sembilan bulan membawa kita ke mana sahaja dengan penuh kasih sayang. Ibu hanya mahukan yang terbaik buat kita. Begitu juga ayah. Ayah turut bersama dalam perjuangan ini. Ayah cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan si ibu yang sarat mengandung.
Semua ini ada perjuangan yang penat, walaupun hanyalah di peringkat individu. Tetapi ini adalah peringkat yang penting, kerana tanpa individu, tiadalah asas kepada pembangunan dan pembentukan Islam yang mantap. Tanpa individu tiadalah tiang-tiang menuju ustaziat Al-Alam.
Tetapi, ini bukanlah perjuangan kita sendirian. Ini adalah perjuangan bersama ibu bapa kita supaya kita menjadi seorang individu muslim yang sejati. Tanpa ibu bapa yang mendidik kita, kita tidak mungkin dapat pendidikan dan pengetahuan yang kita perlukan. Dan tanpa ibu bapa kita tak mungkin menjadi diri kita sekarang ini.
Realiti hidup manusia
Ini sememangnya realiti hidup manusia yang beriman dah bertaqwa kepada Allah. Hidup di dunia ini hanyalah sekadar tempat untuk mengumpul bekalan sebelum berjumpa dengan Allah di padang mahsyar nanti. Kita berusaha bersungguh-sungguh dan berpenat lelah untuk menjamin hidup yang diidamkan di akhirat nanti, iaitu syurga, insya Allah. Seperti Firman Allah:
“Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemui-Nya.” (Al-Insyiqaq: 6)
Apabila kita tahu hakikat hidup ini sememangnya penuh onak dan duri, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak tersalah pilih jalan dan kita akan lebih menghargai setiap ujian yang Allah berikan kepada kita kerana dengan ujian itu sahaja dapat meningkatkan iman kita kepada Allah. Kita tidak boleh kata diri ini sudah beriman selagi kita tidak diuji, seperti Firman Allah:
Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? (29:2)
Kita perlulah bersabar dengan ujian itu kerana ganjaran untuk orang bersabar telah termaktub dalam Al-Quran, seperti Firman Allah:
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan,kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (2:155)
Jadi, peganglah dengan kuat akan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah yang telah diajar kepada kita supaya kita tidah terpesong jauh dari landasan Islam. Ikutlah segala petunjuk Al-Quran kerana:
“Al-Quran itu tiada keraguan padanya, petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa” (2:2)
Ikuti dah patuhilah isi kandungan Al-Quran itu kerana di situ terletak segala tiang keyakinan diri terhadap segala aspek kehidupan. Janganlah kita mengikuti sebahagian daripadanya ataupun memilih peraturan yang sesuai dengan diri kita sahaja. Firman Allah menyatakan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan” (2:208)
Ikuti dan patuhilah semuanya. Sesuaikan diri kita dengan peraturan tersebut, bukan sesuaikan peraturan tersebut dengan diri kita. Jangan sesekali mengingkari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Jadilah mukmin yang sejati di sisi Allah.
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.: (33:36)
Sebagai penutup kata, ingatlah bahawa Allah yg pegang hati setiap seorang dari kita. Allah Maha berkuasa utk melakukan apa sahaja. Jadi, janganlah fikir bahawa sudah terlambat utk kita bertaubat dan pulang ke pangkal jalan. Selagi ajal tidak memanggil kita, selagi itulah pintu taubat sentiasa terbuka untuk kita. Allah Maha penerima taubat.
“Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : “Sesungguhnya saya bertaubat sekarang.” (An-Nisa’: 18)
Ingatlah, “hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d:28)
Wallahualam.
This entry was posted in Knowledge. Bookmark the permalink.
No comments:
Post a Comment