Sunday, January 1, 2012

Epal Melayu di Bumi Kangaru Oleh Bennie Zie Fauzi bennie@bharian.com.my 2011/05/08 « sebelum selepas » Foto Foto TREN mini antara tarikan di Tropical Fruit World, Gold Coast. LADANG buah-buahan Tropical Fruit World (TFW) tidak putus-putus menarik kunjungan jutaan manusia. Letaknya di Gold Coast, antara bandar terkenal di Australia. Jangan terkejut kerana di sini juga ada baka epal kacukan, Epal Melayu namanya. Ladang itu turut tersenarai dalam agenda lawatan Wartawan Berita Minggu, BENNIE ZIE FAUZI yang menyertai rombongan Global Media Family dengan kerjasama Tourism Australia dan Tourism Queensland, baru-baru ini. KEHADIRAN penulis bersama rombongan ke sebuah dusun buah-buahan tropika dinamakan Tropical Fruit World (TFW) di Gold Coast, Australia disambut dengan papan tanda menarik tertulis ‘Malay Apple!’. Tidak sangka di negara asing ini, ada juga sesuatu yang dikaitkan dengan Melayu. Namun nasib tidak menyebelahi kami lantaran lawatan ke ladang ini bukan dalam musim Epal Melayu berbuah, tetapi daripada gambar yang ada, bentuk buah berkenaan seakan-akan jambul bol di negara kita. Bagai dapat membaca segala yang bermain dalam fikiran penulis, Pengurus Operasi TFW, Aymon Gow yang mengepalai lawatan seluruh ladang sempat bergurau: “Ya... epal hasil kacukan baka itu untuk anda, pengunjung dari Malaysia”. Masuk saja ke ladang berkeluasan 65 hektar itu, rasa takjub menerpa kerana di negara Down Under ini juga subur dengan keluarga buah-buahan yang lazim di negara kita seperti rambutan, belimbing besi, nangka, ciku dan jambu batu. Di sini, jambu tetap dipanggil jambu. TFW yang terletak di Lembah Tweed, berjarak kira-kira 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Gold Coast menghimpunkan pelbagai spesies buah-buahan tropika dan tanaman herba dari seluruh dunia. Namun pesona ladang ini bukan itu saja, sebaliknya dipersembahkan menerusi cara pengendalian serta pengurusannya yang mengambil inspirasi safari serta kegiatan perkhemahan dan perkelahan hutan rimba, mengeksploitasi lokasi uniknya berhampiran pantai memutih dan hutan hujan yang terbentuk daripada aktiviti gunung berapi dulu kala. “Lokasi ini memungkinkan perencanaan pelbagai aktiviti berhubung alam termasuk merentas sungai dikelilingi hutan belantara dengan bot, bermesra serta merasai pengalaman memberi makan ternakan, kegiatan merentas tali, berkhemah selain bersiar-siar dengan kereta api mini di Adventure Island,” kata Gow. Paling menyeronokkan pastinya pengalaman menaiki traktor menjelajah seluruh ladang, menghayati landskap berbukit saujana mata memandang, mengenali seterusnya mendekati rahsia alam yang terkandung menerusi ratusan spesies pokok tropika di situ, termasuk yang belum pernah ditemui. Setiap traktor boleh memuatkan sehingga 50 orang yang berpeluang menyentuh dan makan buah-buahan yang ada, malah ditunjuk ajar teknik mengupas buah tertentu menggunakan peralatan disediakan khas. Gow sempat menunjukkan kepada kami cara membelah buah berangan, satu daripada 12,000 jenis pokok buah-buahan yang ditanam di situ. Melengkapi lawatan, rombongan dijamu aneka rasa buah dipetik segar dari ladang seperti durian belanda, tembikai susu, buah naga, nangka dan pelbagai lagi. Dalam sekian banyak hidangan menyihatkan hari itu, berulang kali kami disarankan mencuba nangka yang menawarkan rasa lemak manis, manakala isinya sedikit lembik berbanding baka tempatan di Malaysia. Selesai melawat ladang, dipelawa pula mencuba ais krim berperisa istimewa menggunakan buah-buahan dari ladang itu sendiri. Pengunjung berpeluang memilih buah yang disukai di kaunter sebelum ia diadun dan dikisar menjadi aiskrim. “Siapa saja yang berkunjung ke sini mengaku suka dengan keenakan aiskrim kami. Selain tiada pemanis tiruan, resipinya juga rahsia kelazatan. Bagi mereka yang pertama kali mencuba, saya syorkan campuran coklat, nangka dan mangga yang menyajikan kelazatan luar biasa,” katanya. Sementara menunggu aiskrim siap, pengunjung boleh memborong ole-ole dan produk kecantikan - juga berasaskan buah-buahan - di ruang berhampiran. Untuk maklumat lanjut mengenai TWF dan produknya, disyorkan singgah di pusat penyelidikan terletak tidak jauh dari kafe serta kedai cenderamata. Secara jujurnya, Gold Coast bukan tempatnya bagi penggemar cuaca dingin kerana ia menawarkan iklim tropika yang membenarkan limpahan cahaya matahari sepanjang tahun. Tidak hairanlah, lokasi ini sering menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan aktiviti luar. Statistik dimuatkan dalam laman web www.visitgoldcoast.com menunjukkan 9.6 juta pelancong menjejakkan kaki di sini bagi tempoh 2007 hingga 2008. Hakikatnya, daya tarikan Gold Coast berumpankan 70 kilometer jajaran pantai berpasir dan terpelihara dengan hutan hujan subtropika yang diakui terbesar di dunia dan menempatkan kira-kira 100,000 spesies flora dan fauna. Andai aktiviti perladangan seperti TWF kurang memikat minat anda, bumi ini mewah dengan pelbagai tarikan lain, antaranya rangkaian taman tema terbaiknya, Movie World, Dream World dan Sea World. Boleh juga menjelajah hutan serta gua kala malam bagi menyaksikan keajaiban Glow Worm, spesis cacing bersinar dalam gelap selain meluncur ombak. Kaki beli-belah disyorkan ke Robina yang menjanjikan aneka pilihan barangan tempatan selain Pacific Fair di Broadbeach untuk mendapatkan barangan berjenama dan berkualiti tinggi. Mahu memilih ole-ole kenangan pula, singgah saja di Cavill Avenue di tengah-tengah Surfer Paradise. INFO Gold Coast * Keluasan kira-kira 5,000 kilometer persegi * Antara bandar berpopulasi padat * Dihuni kira-kira 500,000 penduduk * Tersohor dengan cuaca panas * Menerima 287 sinar matahari setahun * Suhu tertinggi 29 darjah Celsius * Cuaca paling sejuk Jun hingga Ogos * Suhu sejuk berubah-ubah 9-21 darjah Celsius * Lokasi kepelbagaian biologikal terbesar di Australia

No comments:

Post a Comment