Sunday, January 1, 2012

LIDAH DAH KEMATU UNTUK BERBAHASA MELAYU Polemik Bahasa Kebangsaan terutama di kalangan bukan Melayu di negara ini, seringkali berakhir dengan tuduhan kelemahan sistem pendidikan negara ini. Tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan oleh para pemimpin DAP setiap kali punca masalah lemahnya penguasaan Bahasa Melayu di kalangan pelajar-pelajar serta generasi muda bukan Melayu diakibatkan oleh sekolah-sekolah vernakular, amat menyakitkan hati. Dan apabila perkara tersebut dipanjangkan, maka hampir kesemua pemimpin politik berbangsa Cina sama ada mereka dari MCA, GERAKAN apatah lagi DAP akan mengingatkan tentang undang-undang yang boleh memenjarakan seseorang yang cuba mencadangkan agar sekolah-sekolah vernakular dihapuskan dan digantikan dengan satu sistem pendidikan kebangsaan sahaja. Prof. Dr.Teo Kok Seong yang mengetuai Fellow Kajian di Institut Dunia dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Bahasa Melayu seharusnya berada pada kedudukan lebih atas berbanding mana-mana bahasa lain yang digunakan di negara ini pada sepanjang masa. Katanya lagi, kedudukan Bahasa Melayu perlu sentiasa berada di atas, bukannya sebaris dengan bahasa-bahasa lain, malah tidak boleh sesekali berada di kedudukan bawah bahasa lain. Ini adalah kerana maruah rakyat Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Bahasa Melayu yang merupakan simbol kedaulatan negara dan para pemimpinnya. Profesor itu turut menambah, masyarakat seharusnya seringkali menggunakan Bahasa Melayu secara betul untuk menghormati statusnya sebagai Bahasa Kebangsaan. Mungkin bagi sesetengah orang, kata-kata profesor itu hanyalah satu retorik. Bahasa bukan lagi penting di negara ini. Bahkan ramai yang tidak tahu apa kedudukan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan. Ramai yang beranggapan, Bahasa Melayu tidak penting. Dan contoh tiadanya penguasaan Bahasa Melayu terpamer jelas kepada pemimpin-pemimpin politik yang cuba menggambarkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia sejati. Walhal lidah masing-masing cukup keras untuk mengungkapkan perkataan dalam Bahasa Melayu dengan betul. Lebih teruk lagi, ada sesetengahnya langsung tidak boleh berbahasa kebangsaan sekalipun mereka merupakan Ahli Parlimen, iaitu badan tertinggi yang menggubal undang-undang negara. Antara contohnya adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Anehnya puak-puak ini langsung tidak berasa bersalah kerana kegagalan menguasai Bahasa Kebangsaan. Pengerusi DAP Perak, Ngeh Kor Ham pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sistem pelajaran sekolah vernakular bukanlah penyebabnya sekalipun dia gagal menerangkan mengapa pelajar-pelajar dari sekolah vernakular gagal menguasai Bahasa Kebangsaan secara lisan, malah secara bertulis dengan baik berbanding pelajar-pelajar dari kaum yang sama di sekolah-sekolah menengah kebangsaan. Paling malang apabila salah satu syarat untuk bekerja di syarikat-syarikat milik bukan Melayu adalah mahir berbahasa Mandarin. Sekaligus meletakkan taraf Bahasa Melayu sebagai tidak bernilai langsung. Berbeza benar puak-puak yang menganggap mereka lebih Malaysia daripada orang-orang UMNO. Di Thailand, orang Cina hidup dan sentiasa bertutur dalam Bahasa Thai meskipun sesama mereka. Thaksin Shinawat, bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan dalam satu rampasan tentera, adalah seorang Cina tetapi walaupun hatinya dan tindakannya adalah Cina, dia terlalu Thai. Malah tidak dapat dibezakan antara dia dengan orang Sukhothai yang lain. Begitu juga dengan Cina-Cina di Indonesia dan Filipina, bahkan di Vietnam. Semua bangga bertutur dalam bahasa kebangsaan masing-masing. Berbeza benar dengan di Malaysia yang dikatakan tidak bebas dan menekan serta pilih kasih. Pemimpin-pemimpin yang bukan Melayu, punyalah susah hendak berbahasa kebangsaan, bahkan pemimpin-pemimpin Melayu sendiri, selagi ada peluang untuk bercakap berselang dengan Bahasa Inggeris, tidak akan melepaskan peluang itu. Lebih menarik jikalau seorang pemimpin Melayu berada di tengah-tengah perkumpulan bukan Melayu, maka ucapannya nanti, pastilah dalam Bahasa Inggeris, sekalipun Bahasa Melayu adalah Bahasa Kebangsaan dan sebagai pemimpin yang berucap di hadapan rakyat Malaysia, seharusnya Bahasa Melayu yang diutamakan walau dalam apa juga keadaan. Ada juga yang terlebih-lebih Arab walaupun istilah Arab yang diketahuinya, cuma ana-ente! Nasib Bahasa Melayu sebenarnya seperti juga nasib tulisan jawi… perlahan-lahan terhapus. Walaupun ada ‘peruntukan’ dan ‘pendidikan’ untuk Bahasa Melayu dan tulisan jawi, namun kecintaan terhadap kedua-duanya akhirnya menyebabkan seluruh Malaysia akan mengumumkan pupusnya Bahasa Melayu dan tulisan jawi, dan jangka masa tersebut sebenarnya sudah terlalu dekat! Di bawah ini adalah contoh klasik daripada klip video seorang wakil rakyat bukan Melayu yang sangat sukar bertutur dalam Bahasa Kebangsaan dengan betul, tertib dan sempurna. Comments : 1 Comment » Tags: Cina, Teo Kok Seong Categories : Bahasa Kebangsaan Di manakah Kedudukan Bahasa Kebangsaan Kita? 29 07 2011 Sebuah artikel dari VOICES AROUND. Maruah Bangsa Bergantung Kepada Bahasanya. UPDATE: “It was nationalism that cemented most of the European powers in the modern era, turning them from dynastic states into nation-states, and it was the spread of nationalist ideology that helped destroy the British, French, Ottoman, Dutch, Portuguese, Austro-Hungarian, and Russian/Soviet empires. Nationalism is the main reason the United Nations had fifty-one members immediately after its founding in 1945 and has nearly 200 members today. It is why the Zionists wanted a state for the Jewish people and why Palestinians want a state of their own today. It is what enabled the Vietnamese to defeat both the French and the American armies during the Cold War. It is also why Kurds and Chechens still aspire to statehood; why Scots have pressed for greater autonomy within the United Kingdom, and it is why we now have a Republic of South Sudan” STEPHEN M. WALT @ “Nationalism Rules” by HANTULAUT ARTIKEL ASAL: Satu kenyataan yang menarik dari Prof. Dr. Teo untuk saya kongsikan bersama. Mengapakah kenyataan sebegini menjadi begitu MENARIK sekali apabila diucapkan di Malaysia ini? Sedangkan secara umumnya, boleh dikatakanlah bahawa kenyataan sebegini adalah merupakan suatu kenyataan yang agak biasa. Sudah menjadi kelaziman bagi mana-mana rakyat sesebuah negara itu menjulang bahasa kebangsaannya sendiri di tempat yang teratas. Agaknya, situasinya berlainan malah mungkin juga bertentangan dengan kelaziman di Malaysia ini. Ialah, walaupun kita ada Artikel 152 Perlembagaan, dikuatkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan, tetapi realitinya? Beranikah kerajaan melaksanakan Artikel 152 Perlembagaan ini yang merupakan sebahagian dari undang-undang tertinggi negara? Berupayakah kerajaan untuk tidak menjadikan Akta Bahasa Kebangsaan seolah-olah sebagai barang perhiasan saja? Supaya mungkin pada suatu hari nanti, setiap rakyat yang bergelar “Orang Malaysia” akan bertutur menggunakan Bahasa Melayu, bukan saja diluar rumah masing-masing, malah di dalam rumah juga tanpa menidakkan kepentingan Bahasa Inggeris (sebagai bahasa kedua) pada waktu yang sama. Dan juga, sanggupkah setiap orang daripada kita benar-benar menjadi rakyat Malaysia, bukan sekadar dibibir sahaja serta bersandarkan myKAD sedangkan kita sebenarnya sememangnya layak digelar sebagai “PENDATANG?”. Tidak lagi seorang rakyat Malaysia “berlidah asing” sehinggakan Bahasa Melayu langsung tidak difahaminya. Kalaupun terlalu amat mementingkan bahasa ibunda, memadailah kalau ianya dipraktiskan di dalam rumah sahaja. Di luar sana, biarlah keturunan kita mula menjulang maruah bangsa Malaysia, sekiranya benar kita ini rakyat Malaysia. Kepada yang memegang kuasa pentadbiran negara ini, sudah-sudahlah kemaruk dengan bahasa asing seperti Mandarin itu. Sudah-sudahlah dengan sistem pendidikan vernakular. Mertabatkanlah sekolah kebangsaan. Saya berharap, rombakan dasar pelajaran negara yang akan dibentangkan hujung tahun ini, akhirnya dapat meletakkan impian “SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA” ke atas landasan yang betul setelah lebih 50 tahun negara ini merdeka (sila KLIK DI SINI). Janganlah bertindak sumbang bagi mencelarukan lagi identiti bangsa dan negara. Jangan digadai maruah bangsa Malaysia ini. Saya siarkan sepenuhnya berita dari BERNAMA yang diperolehi dari pautan DI SINI. Dignity Of Malaysians Depends On Status Of Malay Language – Prof Dr Teo KANGAR, July 19 (Bernama) — A higher social status should be given to the Malay language as the dignity of Malaysians depends on the status of the language, which symbolises the sovereignty of the nation and its leaders, according to a socio-linguistics professor.Prof Dr Teo Kok Seong, who is the Principal Research Fellow at Institute of the Malay World and Civilisation (ATMA) of Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), said the Malay language should also be positioned above any other languages used in the country at all times. “In other words, the position of the Malay language should always be above, not at the same level and never below other languages. “This is because the dignity of the Malaysians depends on the status of the Malay language, which symbolises the sovereignty of the nation and its leaders,” he said. He said this when presenting a working paper entitled “The Role of Malay Language in Creating National Identity and Nation State of Malaysia” in conjunction with the state-level briefing on the National Language Policy here. The professor also said members of the public should always use the Malay language correctly to honour its status as the national language. – BERNAMA Susah benar kah untuk memahami apa yang dinyatakan di atas? Undang-undang dan akta sudah lama termaktub. Kuasa sudah ada ditangan. Apa lagi alasannya? Comments : Leave a Comment » Tags: Teo Kok Seong Categories : Bahasa Kebangsaan Isu Bahasa Kebangsaan – Kenapa Kerajaan Tampak Begitu Lemah Sekali? 27 05 2011 Bahasa Melayu mengerat rakyat pelbagai budaya — Teo Kok Seong April 27, 2011 27 APRIL — Maklum balas kerajaan untuk meneliti kemungkinan dikembalikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam bentuk baru, iaitu penggunaan dua bahasa pengantar berlainan, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk dua kelompok pelajar, menimbulkan dua reaksi yang bertentangan. Ia disenangi oleh mereka yang inginkan PPSMI diteruskan. Sebaliknya, ia tidak dipersetujui oleh mereka yang inginkan hanya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu di negara ini. Dalam hal kemungkinan ini, bahasa, sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris ataupun yang lain, dilihat sebagai semata-mata wahana untuk menyampaikan ilmu. Justeru, penggunaan mana-mana bahasa ini serta yang lain-lain khususnya sebagai alat untuk menyatakan pemikiran, merakamkan fakta serta menukar maklumat adalah lebih daripada sudah memadai. Fungsi asas bahasa begini dapat dimainkan oleh mana-mana bahasa moden, yakni yang telah dibakukan. Dengan kata lain, untuk sekadar menyampaikan idea atau bertanya untuk memperoleh maklumat kita boleh menggunakan mana-mana bahasa yang menjadi pilihan kita. Syarat utama dalam hal ini ialah bahasa yang digunakan itu perlu difahami bersama. Inilah satu-satunya fungsi bahasa yang diketahui umum. Akan tetapi, ia bukanlah satu-satunya fungsi bahasa yang wujud atau cara tunggal ketika kita menggunakan bahasa. Bahasa mempunyai banyak fungsi lain. Fungsi komunikasi adalah salah satu daripadanya dan sebetulnya ia adalah fungsi yang kecil saja. Sehubungan pelbagai fungsi lain ini, bahasa antaranya digunakan sebagai penanda jati diri, baik yang bersifat etnik mahupun nasional. Ia juga digunakan sebagai wahana untuk mengungkapkan budaya sesebuah kelompok itu. Bahasa adalah juga sumber perpaduan kaum dan integrasi nasional. Ia juga adalah faktor penentu utama dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan negara itu sendiri. Bahasa adalah antara elemen yang paling sesuai digunakan untuk tujuan penyatuan dan pemupukan kesedaran kebangsaan, selain pelbagai tujuan kenegaraan yang lain. Hal ini sudah terbukti di merata tempat seluruh dunia. Aspek politik bahasa inilah yang perlu diambil kira dalam isu PPSMI. Sehubungan ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini, perlu dipastikan adalah faktor jati diri paling penting bagi menyatakan ciri, sifat, perasaan dan kepercayaan rakyat negara ini, yang dapat dibezakan dengan rakyat negara lain. Pernyataan begini menerusi bahasa Melayu bukan saja mampu membentuk jati diri nasional, tetapi juga semangat kebangsaan. Pada kelazimannya, semangat kebangsaan, khususnya kecintaan terhadap negara dan jati diri nasional, lebih-lebih lagi pameran citra yang sama mana-mana negara diungkapkan dalam bahasa negara berkenaan. Bahasa negara adalah pengungkapan perasaan etnonasional yang paling dasar. Sehubungan ini, malangnya elit sesetengah negara didapati lebih selesa mengungkapkan jati diri nasional mereka melalui bahasa Inggeris, jika dibandingkan dengan bahasa negara mereka sendiri. Dalam isu PPSMI yang antaranya adalah pertikaian mengenai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains dan teknologi pada zaman globalisasi ini, bahasa Melayu sebetulnya memiliki warisan budaya yang amat mengagumkan untuk memikul tugas ilmiah ini. Sehubungan ini, kecemerlangan bahasa Melayu pada masa lampau sebagai lingua franca ikut menjadi landasan kuat kepada kemantapannya pada waktu kini sebagai bahasa ilmu tinggi. Dengan warisan sedemikian, bahasa Melayu adalah pilihan tepat untuk memaju rakyat dan negara Malaysia pada setiap masa, dulu, kini dan akan datang. Pada masa dulu, khususnya selepas kemerdekaan, kerajaan menggunakan kaedah pujukan untuk merayu kepada semua rakyat agar menggunakan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara. Kaedah ini selain proses perlahan didapati kurang berkesan dalam mencorakkan perwatakan kebangsaan pada sesetengah sektor rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu. Untuk masa ini dan akan datang dalam usaha menangani masalah penggunaan ini, kerajaan perlu menggubalkan dasar yang boleh menghasilkan penyatuan bahasa yang lebih cepat. Untuk ini, barangkali kaedah yang lebih keras diperlukan. Ini penting sekali untuk tujuan penyatupaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sehubungan ini, kerajaan perlu mengangkat hanya bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk interaksi yang merentas etnik yang amat diperlukan untuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Bahasa Melayu saja yang mempunyai kelebihan ini di negara ini. Dalam hal ini, kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu saja selaku bahasa negara untuk menggerakkan seluruh rakyat untuk tujuan kenegaraan, khususnya memupuk kesedaran kebangsaan dan membentuk jati diri nasional. Jika bahasa Melayu tidak berjaya digemblengkan untuk tujuan ini, bahasa Melayu boleh dikatakan gagal berfungsi sebagai bahasa negara. Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan bahasa negara berfungsi dengan baik, khususnya dalam melaksanakan peranan menasionalkan rakyat, dalam erti kata mereka memiliki perwatakan kebangsaan, terletak di tangan kerajaan. Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara adalah tanggungjawab kerajaan. Sehubungan ini, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Untuk bahasa Melayu mendukung peranan menasionalkan rakyat ini dengan lebih berkesan, ia perlu diinstitusikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, sebagai satu-satunya bahasa untuk tujuan penyatupaduan dan kemajuan negara. Ini perlu dilakukan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung pelbagai fungsi politik. Fungsi politik ini perlu digemblengkan melalui saluran pendidikan, yang hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dalam konteks ini, kerajaan perlu bijak memanipulasikan bahasa Melayu, bukan saja untuk membentuk rakyat yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara mereka. Tetapi juga bagi menyalurkan pelbagai nilai kenegaraan yang lain. Untuk melakukan semua ini dengan jayanya, kerajaan perlu melestari dan mengabsahkan bahasa Melayu pada setiap masa dan sekali-sekala menjadikannya relevan dengan perkembangan semasa. Semua ini adalah untuk memastikan maruah budaya pada bahasa Melayu sentiasa dipelihara. Dengan hanya menggunakan bahasa Melayu, kesatuan budaya seluruh rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan utuh. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu sentiasa berkait rapat dengan semangat kebangsaan dan jati diri nasional. — Berita Harian * Teo Kok Seong ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Comments : Leave a Comment » Tags: Teo Kok Seong Categories : Bahasa Kebangsaan Dasar Pendidikan Yang Tunggang Langgang 3 02 2011 Kerajaan pimpinan DS Najib, di mana TS Muhyiddin adalah Menteri Pelajarannya, begitu prihatin terhadap desakan/aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pelajaran Bahasa Melayu, YAKNI BAHASA KEBANGSAAN NEGARA INI, yang mahukan guru-guru yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah-sekolah vernakular adalah terdiri dari guru-guru yang mahir berbahasa ibunda. Pantang ada aduan dari masyarakat bukan melayu yang melibatkan sekolah vernakular, yang sebenarnya HARAM di sisi undang-undang negara, kerajaan terus bergegas memenuhi tuntutan mereka, biarpun tuntutan tersebut membelakangi atau menidakkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Kerajaan melalui Menteri Pelajarannya, akan terus memenuhi kehendak ini bagai menatang minyak yang penuh. Apakah pernah desakan ataupun aduan dari pihak-pihak di sekolah Kebangsaan dilayan sebegini rupa oleh Kerajaan? Adalah jelas, dalam membuat desakan mereka ini, masyarakat bukan Melayu berkenaan telah mengutamakan bahasa ibunda masing-masing MELEBIHI Bahasa Kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu di mana guru yang mengajar diperlukan untuk mahir dalam bahasa ibunda dahulu dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu. Adalah amat tidak masuk akal apabila Kerajaan tunduk kepada desakan sedemikian rupa kerana Kerajaan sanggup membelakangi Bahasa Kebangsaan sendiri (juga bermakna membelakangi Perlembagaan Negara dan Akta Bahasa) dalam memenuhi tuntutan ini. Kerajaan, dalam hal ini, boleh dianggap sebagai pengkhianat Bahasa Kebangsaan sendiri. Walaupun terdapat dasar kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu yang digubalkan pada tahun 2000 lagi, tetapi dasar ini tidak pernah dilaksanakan. Hanya Kerajaan hari ini saja mengarahkan supaya dasar ini dilaksanakan mulai tahun 2011. Dasar ini memberi penekanan kepada guru dwibahasa di mana pembelajaran mata pelajaran bahasa ini dikendalikan melalui KAEDAH PENTERJEMAHAN. Seperti yang dinyatakan Prof. Teo Kok Seong, kaedah penterjemahan ini adalah tidak berkesan jika dibandingkan dengan KAEDAH LANGSUNG, di mana kaedah langsung akan memerlukan seseorang pelajar itu berfikir dalam bahasa yang hendak dipelajari itu. Seseorang itu akan berfikir SEBAGAI SEORANG RAKYAT MALAYSIA, bukannya sebagai seorang rakyat cina atau india, apabila mempelajari bahasa Melayu melalui kaedah langsung ini. Ini adalah baik untuk pembinaan negara yang benar-benar beridentitikan Malaysia. Guru-guru dwibahasa yang akan mengajar matapelajaran bahasa Melayu melalui kaedah penterjemahan ini akan secara tidak langsung meletakkan status bahasa Melayu SEBAGAI BAHASA ASING di bumi Malaysia sendiri! Pemikiran seperti ini akan ditanam di dalam setiap benak pelajar-pelajar tersebut yang akan melihat Melayu itu adalah BAHASA ASING di bumi sendiri. Sila hayati tulisan Prof. Teo Kok Seong di bawah ini. Betapa kerajaan pimpinan DS Najib dan Menteri Pelajaran, TS Muhyiddin, begitu TUNGGANG LANGGANG dalam cuba memenuhi tuntutan kaum bukan Melayu, biarpun tuntutan mereka itu akan menjadikan Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan) sebagai bahasa asing di bumi sendiri, memporak-perandakan pembinaan negara melalui slogan, “SATU BANGSA, SATU NEGARA, SATU BAHASA“. Tidakkah DS Najib dan TS Muhyiddin Yasin berasa bersalah terhadap bangsa dan negara dalam begitu melayani tuntutan-tuntutan masyarakat bukan Melayu begitu rupa? Sudahlah sekolah vernakular yang bermati-matian dibela oleh kerajaan adalah, pada hakikatnya, merupakan SEKOLAH HARAM, kini tuntutan bahasa asing pula dilayan walaupun ianya akan menghancurkan bahasa kebangsaan negara ini. Tidakkah ini merupakan suatu tindakan pengkhianatan terhadap nusa dan bangsa? Artikel di bawah ini dipetik dari laman Cikgu Taufiq – BAHASA ITU INDAH. ISU BAHASA : Apabila Bahasa Melayu diajar guru dwibahasa Oleh Teo Kok Seong (teokok@ukm.my) Sistem pendidikan, kurang pergaulan kekangan penguasaan DASAR mengenai kaedah mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah jenis kebangsaan yang digubal pada 2000, yang didakwa sesetengah pihak tidak pernah dilaksanakan, kini akan dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011. Dasar ini mengkehendaki mata pelajaran wajib ini diajar guru dwibahasa, iaitu mereka yang mahir dalam bahasa ibunda masing-masing dan kemudiannya baru diikuti kemahiran dalam bahasa Melayu.Penguatkuasaan dasar ini mulai 2011 antaranya adalah ekoran aduan masyarakat bukan Melayu mengenai pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah vernakular yang masih diajar guru yang tidak mengetahui bahasa Mandarin dan Tamil. Untuk ini, Kementerian Pelajaran mengeluarkan arahan bahawa guru mengajar mata pelajaran ini khususnya kepada pelajar tahap satu dan dua hendaklah terdiri daripada mereka yang boleh berbahasa Mandarin atau Tamil, selain bahasa Melayu. Mereka juga perlu mempunyai kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Pelajar tahap tiga sehingga enam pula hendaklah diajar guru yang bidang pengkhususannya adalah bahasa Melayu. Untuk sekolah vernakular yang mempunyai bilangan pelajar kecil, mata pelajaran ini hendaklah pula diajar guru dwibahasa berpengalaman dan mereka ini perlu memiliki kelulusan kredit dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahap SPM. Dengan penekanan menggunakan guru dwibahasa, pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini dikendalikan melalui kaedah penterjemahan. Kaedah ini adalah pendekatan tradisional dan popular pada abad ke-19. Walaupun begitu, kaedah ini adalah pendekatan dominan dalam perkaedahan pendidikan bahasa pada awal zaman moden ini. Namun hanya segelintir pendidik mendapatinya masih sesuai dengan keperluan pelajar dan kebahasaan semasa. Sebaliknya, ramai guru bahasa mendapati kaedah ini tidak banyak membantu pelajar menguasai bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Pendidikan bahasa yang tidak menggunakan bahasa ibunda pelajar dan mereka digalakkan berfikir dalam bahasa yang sedang dipelajari itu adalah pendekatan dikenali sebagai kaedah langsung. Melalui kaedah ini, tidak ada usaha menterjemah sebarang apa diajar dan dipelajari itu. Dengan ini, pelajar diajar segala kemahiran berbahasa berdasarkan situasi bahasa berkenaan dengan serealistik yang mungkin dalam bilik darjah. Kaedah ini sangat diminati dan pelbagai kelainan berkembang daripada yang asal. Oleh sebab diajar oleh guru yang dilatih khas, pelajar didapati bukan saja berjaya menguasai sistem nahu bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Tetapi yang lebih penting ialah mereka didapati berjaya menguasai sebutan dan intonasi bahasa yang sedang dipelajari itu dengan baik. Semua ini kurang berjaya digarap menerusi kaedah penterjemahan. Ini antaranya kerana pemilihan guru amat bergantung kepada mereka yang cekap berbahasa ibunda, walaupun tidak dilatih khas untuk mengajar sesuatu bahasa itu. Oleh itu, mutu pendidikan bahasa yang sedang dipelajari itu, sering didapati tidak sebaik yang dikendalikan melalui kaedah langsung. Persoalan lebih penting mengenai dasar ini ialah bukan mengenai kaedah pendidikan bahasa Melayu di sekolah vernakular, tetapi implikasi desakan menggunakan kaedah penterjemahan sebagai satu-satunya pendekatan berkesan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar Cina dan India yang baru memasuki alam persekolahan formal. Dengan penggunaan kaedah penterjemahan, bahasa Melayu tidak dapat dinafikan diajar dan dipelajari sebagai bahasa asing oleh rakyat Malaysia sendiri di bumi Malaysia ini, iaitu tanah tumpah darah mereka. Perkara ini bukan saja pelik tetapi menyedihkan, selain sangat memalukan sehingga boleh menjejaskan imej negara dari segi kebahasaan di mata masyarakat luar. Bahasa Melayu adalah bahasa negara di Malaysia. Sebagai bahasa negara, sama ada dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan mahupun bahasa rasmi, ekologi linguistiknya cukup agam dan banyak sekali. Ia dituturkan di seluruh pelosok negara dan kedengaran di media elektronik pada setiap masa sepanjang hari. Dengan kata lain, bahasa Melayu adalah bahasa fungsional di negara ini, iaitu digunakan meluas, selain amat penting untuk kebanyakan tujuan. Dengan kepentingannya yang begitu utama sifatnya, mengapakah anak kecil ini tidak disediakan ibu bapa mereka melalui persekitaran bahasa Melayu yang begitu lawas di bumi watannya, untuk menguasai bahasa Melayu secara tidak formal, sebelum menjejak kaki ke sekolah? Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Melayu gagal disanjungi banyak pihak sebagai memiliki status kudus apabila didaulatkan sebagai bahasa negara. Ia dianggap mereka ini sebagai bahasa etnik kaum Melayu semata-mata, yang dipaksakan penguasaan kepada kaum bukan Melayu. Tanggapan begini salah sama sekali dan perlu diperbetul segera agar penghormatan kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara itu, mendapat sanjungan yang khalis sifatnya oleh semua pihak dan tidak yang sebaliknya. Sehubungan ini, pada satu pihak lain, masyarakat Cina dan India tidak pun kedengaran mendesak agar mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah vernakular juga diajar guru dwibahasa, seperti yang berlaku pada bahasa Melayu. Ini adalah kerana ibu bapa membuat persediaan awal secara tidak formal, agar anak mereka didedahkan kepada bahasa antarabangsa ini, melalui ekologi linguistik bahasa Inggeris yang ada di negara ini. Pendedahan yang kurang dan dalam sesetengah kes tiada langsung terhadap bahasa Melayu, rata-ratanya diakui sebagai sebab utama keperluan kaedah penterjemahan ini digunakan untuk pendidikan bahasa Melayu pada peringkat permulaan di sekolah vernakular. Sehubungan ini, apakah yang sudah berlaku kepada kurikulum pendidikan bahasa dan pergaulan secara formal antara anak bukan Melayu dengan Melayu ketika bersama-sama di institusi pendidikan prasekolah yang boleh memberi pendedahan awal itu? Sesungguhnya pendidikan bahasa dan pergaulan ini tidak pernah wujud secara berleluasa. Sistem pendidikan pelbagai aliran diamalkan di negara ini. Melalui sistem begini, semenjak usia muda lagi, kanak-kanak sudah dididik melalui bahasa ibunda secara dominan dan untuk bergaul sesama sendiri daripada kelompok sebangsa saja. Sehubungan ini, pergaulan secara tidak formal antara kanak-kanak daripada pelbagai bangsa dalam kejiranan sama juga tidak wujud di kebanyakan tempat. Tidak dapat dinafikan pergaulan semasa pada peringkat prasekolah dan dalam kejiranan sama, selain dapat memupuk semangat muhibah yang penting untuk menjalin perpaduan, sudah tentu penting dalam memberi pendedahan awal itu, selain membantu anak bukan Melayu menguasai bahasa Melayu secara tidak formal. Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM Sumber : http : //www.bharian.com.my/ Comments : 1 Comment » Tags: Teo Kok Seong Categories : Bahasa Kebangsaan, Sistem Pendidikan You Are Now Reading Materials On "Satu Sekolah Untuk Semua" "One School For All" SSS_Final1 v2 PLEASE SIGN THE PETITION FOR SSS. Click The Logo and you'll be directed to the petition. Live SSS Traffic Latest Comments The Problem with the… on A Tribute to the late Mark… mya on UiTM – PDRM & Akadem… SSS Admin on e-Patriots in Support tkp on e-Patriots in Support Diana Ridzuan on Hipokrit 152 – Sekolah V… Snuze on Tolerating National Language I… satD on The Memo to MOE Yeah on The Memo to MOE Penyokong SSUS on The Memo to MOE Yeah on The Memo to MOE Yeah on The Memo to MOE sitik on The Memo to MOE sikaigh on The Memo to MOE SatD, perkenalkan mu… on The Memo to MOE Kajian Semula Sistem… on The Memo to MOE January 2012 S M T W T F S « Dec 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29 30 31 Archives Disclaimer This blog carries the personal views of several authors. Readers are cautioned not to consider the contents written in this blog and all its ancillary documents as a legal or contracting policy advice in any way. The information stated in this blog should not be relied upon as the ultimate reference of the truth. This blog is not responsible for the comments from the public, it therefore assumes no liability. This blog also disavows knowledge or culpability of any such acts or claims on such acts in any way related to the views and opinions expressed in this blog. Blog Stats 71,326 hits Recent Posts Kempen SSS Blog – 2011 in review Selamat Menyambut Tahun 2012 Pembaharuan (?) dan “Flip-Flop” PM Pernah berkata – “Jangan jadi Ingrate” Selamat Menyambut Hari Natal PRIMES – Badan Bukan Kerajaan Golongan Belia Punca Polarisasi Perkauman di Negara Ini Pendidikan Menjadi Mangsa Permainan Politik Yang Memusnahkan Kemasukan ke IPTS – Samarata? Masih lagi “Orang Cina” bukan “Orang Malaysia” wordpress visitor Meta Register Log in Entries RSS Comments RSS WordPress.com Pages The Memo to MOE About SSS SSS FAQS BM SSS FAQS ENG References e-Patriots in Support Blog at WordPress.com. Theme: Freshy by Jide. Follow Follow Kempen SSS Get every new post delivered to your Inbox. Powered by WordPress.com

No comments:

Post a Comment