Monday, January 23, 2012

‘Video itu dorong saya tinggalkan PKR’ Filed Under ( berita pisau ) by pisau on 22.1.12 Mukadimah: SEJAK beberapa tahun lalu, ramai orang kuat di sekeliling Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkannya seorang demi seorang. Trend itu juga nampaknya bukan terhad di kalangan kumpulan pelopor dan pangkat tertinggi parti, malahan semakin merebak ke semua peringkat termasuklah mereka yang dahulunya penyokong tegar dan taksub dengan perjuangan Ketua Pembangkang itu. Menjadi penyokong tegar dari bangku sekolah lagi, seorang pengikut yang sebelum ini juga taksub, dahulunya sering membawa bersama anaknya dalam semua pergerakan reformasi sehinggakan anaknya itu menjadi salah seorang setiausaha sulit Anwar. Apabila anaknya itu beralih arah meninggalkan idolanya itu, hubungan bapa dan anak menjadi renggang akibat perbezaan fahaman politik. Namun, apabila pendedahan demi pendedahan dibuat, akhirnya pengikut tegar itu luntur keyakinannya terhadap idola yang dipandang tinggi sejak kecil. Dia memilih mengikut jejak anaknya meninggalkan perjuangan parti itu. Ikuti luahan dan pengalaman OSMAN ISHAK, bapa kepada bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia LUKMAN ISMAIL. MINGGUAN: Sejak bila anda meletakkan kepercayaan kepada karisma Datuk Seri Anwar Ibrahim dan apa yang mendorong penglibatan dalam PKR sebagai Ketua Cabang? OSMAN: Saya menaruh kepercayaan dan meminati karisma Anwar sejak di bangku sekolah lagi kerana saya orang kampung dan suka tengok orang memperjuangkan orang kampung. Ketika saya memasuki Universiti Malaya pada 1974, Anwar berada di dalam tahanan ISA. Bila beliau dibebaskan, saya sering mengikuti ceramah dan forum beliau di mana-mana sahaja sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Apabila beliau memasuki UMNO, kekaguman saya terhadapnya agak menurun, sehinggalah beliau dipecat dari UMNO dan gerakan reformasi tercetus. Saya sentiasa bawa bersama anak saya, Rahimi, melatihnya berjuang bersama di Masjid Negara, Jalan Tunku Abdul Rahman, di hadapan Sogo, Sungai Buloh, hinggalah di Kemunting. Kemudian, apabila Parti Keadilan Nasional (ADIL) ditubuhkan, saya menjadi antara yang pertama menganggotainya dari hari pertama ia dilancarkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, Anwar sudahpun dibebaskan dan saya diminta oleh seorang sahabat yang menjadi Ketua Perhubungan Negeri untuk bersamanya dalam AJK PKR Negeri Pahang bagi memantapkan parti. Saya sebenarnya bukan orang politik, tapi atas permintaan sahabat, saya menyertainya juga. Begitu jugalah menjadi Ketua Cabang Bentong, bukanlah kehendak hati saya tapi lebih kerana permintaan pihak lain. Tapi saya tetap bersama dengan gerakan reformasi dan parti, hanya kerana kononnya mahu menegakkan keadilan. Anda ialah ayah kepada Rahimi yang pernah bekerja dengan Anwar. Apa perasaan anda apabila Rahimi meninggalkan Anwar atas sesuatu sebab? OSMAN: Tentu sekali sangat terkejut dan cukup menyentap hati, apatah lagi alasannya adalah sama seperti apa yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu yang saya anggap konspirasi dan perbuatan zalim, kini kena pula kepada kawan Rahimi. Perasaan terkejut, marah, kecewa, tidak percaya dan malu bercampur baur di dalam diri saya bila Rahimi menceritakan sebab tersebut kepada saya. Walaupun tidak percaya 100 peratus ketika itu, hati kecil saya sudah mula terdetik. Bagaimanapun, pada peringkat awal, saya masih berjaya mempengaruhi Rahimi untuk kembali bersama Anwar. Itulah sebabnya Rahimi pergi juga menemui kumpulan peguam Anwar di sebuah hotel di Shah Alam, pada malam hari yang sama Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis. Malahan, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh, Rahimi masih membantu Anwar. Tapi itu tidak lama kerana sikap negatifnya terhadap Anwar tetap ada dan saya tidak dapat lagi mempengaruhinya. Apa yang menyebabkan anda yakin terhadap pendirian Rahimi sehingga membawa kepada keputusan mengikutinya meninggalkan PKR? OSMAN: Sebenarnya agak sukar dan mengambil masa panjang untuk saya menerima hakikat dan mengakui pendirian anak saya lebih benar daripada saya sendiri dalam soal ini. Walaupun cerita yang disampaikan oleh anak saya nampak ‘benar’, namun saya sukar menerimanya dan terus berselindung di sebalik alasan ‘perlunya empat saksi’ dan teori konspirasi. Hubungan saya dengan Rahimi menjadi tegang dan satu ketika saya seolah-olah menghalaunya dari rumah. Saya juga tidak lagi ambil peduli mengenai anak saya itu. Tapi semuanya berubah apabila timbulnya satu isu baru melibatkan orang yang sama. Video seks yang didedahkan oleh ‘Datuk T’ dan kemudiannya ditayangkan oleh sebuah blog. Tanpa segan silu saya meneliti secara serius apa yang ditayangkan itu dan saya mendapati, akal saya tidak dapat mencari satu ciri pun si pelaku itu bukan orang yang dikatakan. Semua yang saya saksikan, dari segi fizikal dan gerak gerinya semua sangat menyamai seorang individu, itulah kesimpulan saya. Jadi, saya berfikir memang ada kemungkinan individu tersebut boleh melakukan perkara lain yang lebih menjijikkan. Tambahan pula, bila melihat dolak dalih mereka sekeluarga dalam isu jam tangan yang tidak meyakinkan, kelihatan mereka sangat gelabah. Rasa kemungkinan besar betul, dan kalau betul, mungkin ada merit untuk kes-kes terdahulu. Sejak dari itu, saya mula mundur dan mengakui nampaknya pendirian anak saya adalah betul. Lalu terus menjauhi PKR kerana saya tersalah langkah selama ini. Mujur juga saya tidak lagi menjadi Ketua Cabang ketika itu, kalau tidak alangkah rasa serba salahnya saya. Video itu mendorong saya tinggalkan PKR dan hilang kepercayaan terhadap ketuanya. Ini video, yang saya boleh tengok sendiri berbanding sebelum ini hanya dengar cerita orang sahaja. Kebetulan Rahimi kemudian membawa saya mengikuti satu perjumpaan yang mendedahkan banyak cerita tentang individu sama. Orang yang bercerita di situ pula tidak nampak seperti orang berbohong. Dari detik itu, hati saya berubah 99 peratus meninggalkan PKR dan pembangkang dan tidak lagi menghubungi rakan-rakan dalam pembangkang. Keputusan mahkamah baru-baru ini pula semakin melegakan saya kerana kini lebih pasti kesimpulan yang saya buat adalah betul. Jika kita lihat, sejak dari hari pertama sehingga penghujung kes itu teori konspirasi yang dicanangkan bagi mengaburi mata rakyat, tetapi keputusan mahkamah menampakkan sebaliknya. Bagi orang yang berfikir, sudah tentu mereka memahami apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang sebenarnya berkonspirasi. Ini persepsi saya, tapi selepas keputusan mahkamah itu, saya menolak 100 peratus PKR dan pembangkang. Benarkah sebelum ini anda menolak sepenuhnya media perdana terutamanya Utusan Malaysia sepanjang berjuang bersama Anwar? OSMAN: Sebenarnya, Utusan Malaysia teman saya sepanjang bersekolah dan belajar dahulu. Namun, selepas kes liwat 1998, saya menolak Utusan Malaysia (kerana terpengaruh sentimen Anwar) selama hampir 12 tahun. Saya tidak membeli mahupun membaca Utusan Malaysia dan media perdana lain kerana semuanya digelar media fitnah. Selepas saya mengubah fikiran (perjuangan politik), saya kembali kepada Utusan Malaysia malahan menunjukkan dengan bangga saya membeli akhbar Utusan Malaysia. Tanpa perjuangan Utusan Malaysia, kita tentu sudah sesat kerana tiada yang memperjuangkan hak kita macam Utusan. Dulu saya taksub, anggap semuanya fitnah semata-mata. Ini pengajaran istimewa dan bermanfaat terutamanya melalui wawancara bersama Ismail Mina Ahmad bagi menjelaskan isu pluralisme dan bagaimana akidah boleh terpesong kerananya. Saya simpulkan apabila pluralisme dikaitkan dengan seseorang itu, perlu jauhkan diri saya daripada individu tersebut. Apa pandangan anda terhadap masa depan PKR dan Anwar sendiri? OSMAN: Saya melihat PKR hanyalah bayangan Anwar, dan Anwar itu adalah Anwar. Jadi, bagi saya, tidak perlu memikirkan sangat mengenai masa depan PKR kerana secara automatiknya PKR itu akan lenyap dengan ketiadaan Anwar. Yang perlu kita lihat ialah masa depan Anwar itu bagaimana. Masa depan Anwar bukan sahaja penting kepada dirinya dan PKR, malahan kepada Pas dan DAP . Bagi saya, Anwar adalah seorang yang cukup pandai tetapi satu sahaja kemahirannya, memainkan sentimen rakyat. Kesinambungan hayat politik Anwar sangat bergantung kepada kepakaran beliau dalam memainkan sesuatu isu. Itulah sebabnya beliau suka mencipta isu! Tanpa isu, manipulasi sentimen tidak boleh berlaku dan rakyat tidak akan tertarik untuk menyokongnya. Tengok sahaja bagaimana beliau boleh bertahan sejak tahun 1998 sehingga hari ini, malah hampir saja berjaya menakluki Putrajaya, semuanya dengan memanipulasikan isu. Tapi, bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah yang terjadi kepada Anwar kali ini. Beliau cuba memainkan isu konspirasi politik sekali lagi untuk menyelamatkan moralnya dalam kes liwat kedua ini tapi keputusan mahkamah baru-baru ini sangat menyimpang dari apa yang beliau canangkan. Ertinya, ada unsur pembohongan di sini. Persepsi saya cukup negatif, persepsi orang lain saya tidak tahu. Kalau di negara maju, saya rasa peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sudah ranap. Tambahan pula sekarang, bila persoalan akidah berkaitan dengan sikapnya mengenai pluralisme agama dibangkitkan, mana mungkin ia dapat diterima oleh mereka yang benar-benar memahami Islam, tentu takkan dekat lagi dengan pemimpin begini.-utusan Pisau kata "ramai yang dah sedar kena tipu dengan Anwar" Related Posts : berita pisau Read more: http://www.pisau.net/2012/01/video-itu-dorong-saya-tinggalkan-pkr.html#ixzz1muRlChGy

No comments:

Post a Comment