Thursday, December 1, 2011

Memuhasabah syahadah…. June 3, 2011 by twinklymuslima Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.. Beberapa bulan yang lalu, Allah memberi izin untuk saya menghadiri Children’s Play Programme yang sangat memikat hati saya. Hingga hari ini, hati saya masih berbunga-bunga melihat gelagat anak-anak dari video yang saya rakam. Salah satu aktiviti semasa Children’s Play Programme ialah bola beracun. Anak-anak duduk dalam bulatan dan bola di pas-paskan sesama mereka sambil muzik dimainkan. Sampai pada waktu muzik dihentikan, anak tersebut dikehendaki berkongsi dari diri dia apa sahaja berupa nasyid/kisah Rasulullah saw/hafazan yang dia ingat. Saya paling suka kisah Rasulullah saw yang disampaikan oleh Adik Busyra dengan sungguh-sungguh sambil mendendangkan lagu Nabi Anak Yatim setelahnya. Saya di buat terkagum-kagum dengan Adik Bara’ yang mempunyai kekuatan hafazan yang sangat baik pada usianya. Makhraj dan tajwid hafazannya mungkin jauh lebih baik dari ramai Muslim yang telah dewasa. Subhanallah wal hamdulillah… Anak-anak yang disemai dengan Islam tidak akan pernah sama dengan anak-anak yang tidak disemai dengan Islam. Kerana kalimah Lailahaillallah ini memang menempati hidup manusia-manusia yang dipilih Allah.Kalimah ini menempati tangga terpenting dalam kosa kata seorang manusia kerana hanya dengan kalimah ini seseorang dikatakan masuk ke dalam Islam. Dan masuknya seseorang ke dalam Islam satu-satunya kunci yang menjadikan kebaikan-kebaikan sekalipun sekecil-kecil senyuman menjadi bahagian amal soleh yang menjamin seseorang dari azab neraka. Tanpa kalimah ini, kebaikan-kebaikan menjadi suatu yang tidak diendahkan makhluk langit dan tidak dicatat sebagai bahagian amal kebaikan dalam kosa kata para malaikat pencatat amal.”Pada hari itu banyak wajah yang tertunduk hina, kerana bekerja keras lagi kepayahan.Mereka memasuki api yang sangat panas” (Al Ghasyiah 88:2-4). Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Setelah kita merasa sedih kerana melihat rakan non Muslim kita yang baik amalnya tapi amal baiknya tak dikenal para malaikat, mari melihat diri kita dan syahadah kita? Adakah syahadah kita yang kita ucapkan dalam tasyahud sewaktu solat kita adalah bentuk lentera iman yang mampu menjadi kunci untuk kita masuk ke syurga? Dalam salah satu Raudhatul Jannah yang saya hadiri, ustaz bertanya kepada hadirin: “Siapakah orang pertama yang akan dicampakkan ke dalam neraka?Saya beri kamu pilihan jawapan. A Abu Lahab, B Abu Jahal, C Firaun, D orang bukan muslim.” Dewan kuliah menjadi sepi seketika. Masing-masing orang berfikir. “Em.. A Abu Lahab!” Satu suara terpacul memecah sunyi. “C Firaun!” Seorang lagi pelajar menjawab. “Baik, saya nak tanya. Yang jawab A, kenapa Abu Lahab yang akan dicampakkan dulu? Kalau diikutkan, Firaunlah yang sepatutnya masuk neraka dulu, sebab Firaun hidup sebelum Abu Lahab kan?” Suasana senyap kembali menyelimuti dewan kuliah. Ada beberapa orang pelajar mengangguk, setuju. Ada juga yang tidak memberi tindak balas apa-apa melainkan terus setia menadah telinga dengan dahi yang berkerut. “Kalau Firaun yang dicampakkan dahulu ke neraka, atas sebab apa pula? Bukankah banyak lagi manusia yang hidup sebelum Firaun? Betul tak?” Ustaz menghalakan lagi soalan. Sengaja memprovokasi. “Nanti kita lihat siapa orang pertama yang dicampakkan ke neraka. Orang itu ada di antara kita.” Zappp! Darah gemuruh saya menjadi. Takut mendengar pernyataan yang dibuat oleh ustaz sebentar tadi. Tidak tahu bagaimana saya mahu menggambarkan rasa takut itu. Sungguh, hanya Allah sahaja yang tahu. Merasakan diri yang mungkin menjadi calon pertama dihisab dan dihumban ke dalam neraka, saya beristighfar. Terbayang api yang marak menyala disertai dengan binatang-binatang berbisa, ditambah pula dengan nanah yang busuk dan panas, Allah.. saya lemas. Sangat tidak mahu berada berdekatan pintunya, apatah lagi duduk baring di dalamnya. “Hah! Sekarang mari kita lihat siapa orang pertama yang bakal dihumban ke dalam neraka.” Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dinyatakan bahawa: “Sesungguhnya orang yang mula-mula diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang telah mati syahid, setelah dia didatangkan kepada Allah s.w.t, Allah s.w.t memperingatkan nikmat-Nya dan dia mengakui nikmat-nikmat itu. Lalu Allah s.w.t bertanya, “Apakah yang telah kamu lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Orang itu berkata ,“Saya berperang di jalan-Mu sehingga saya telah gugur syahid.” Allah berfirman, “Kamu dusta, sebaliknya kamu berperang supaya kamu dikatakan pahlawan dan perkara itu telah kamu peroleh.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka. Orang kedua yang diadili ialah seorang lelaki yang telah belajar ilmu pengetahuan, mengajarkannya dan membaca al-Quran, dia didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan kepadanya. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Lelaki itu berkata, “Saya belajar ilmu dan telah mengajarkannya dan saya membaca al-quran kerana-Mu.” Allah berfirman, “Kamu berdusta, sebaliknya kamu belajar supaya kamu dikatakan ‘alim dan kamu membaca al-Quran kerana ingin dikatakan Qari lalu kamu memperolehinya.” Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka. Orang ketiga ialah seorang lelaki yang Allah telah permudahkan rezeki dan mengurniakannya pelbagai harta, setelah didatangkan ke hadapan Allah s.w.t dan Allah memperingatkan nikmat-nikmat yang telah diberi kepadanya dan dia mengakui nikmat-nikmat yang Allah berikan itu. Allah berfirman, “Apakah yang telah engkau lakukan terhadap nikmat-nikmat itu?” Lelaki itu berkata, “Saya telah membelanjakan pada jalan-jalan yang Engkau suka, untuk mendapatkan keredhaan-Mu.” Allah berfirman, “Kamu dusta, kamu membelanjakannya supaya kamu dikatakan seorang dermawan dan sesungguhnya kamu telah peroleh.”Lalu Allah perintahkan dia diheret dengan muka terlangkup lalu dicampak ke dalam neraka”. Hurm, nampaknya, sesedih-sesedih keadaan orang non-Muslim, jauh lebih menyedihkan kalau kita menjadi Muslim yang bermain-main dengan syahadahnya. “Dan jika kamu tanyakan mereka, nescaya mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main sahaja” Katakanlah, “Mengapa kepada Allah, dan ayat-ayatNya serta rasul-rasulNya kamu selalu berolok-olok? Tidak perlu kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah kamu beriman. Jika Kami memaafkan sebahagian dari kamu (kerana telah bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa” (At Taubah 9:65-66) Huu~ *** Dari sini, kita dapat menyimpulkan bahawa syahadah adalah ihwal pengakuan sebuah hakikat yang mahaprinsip (dengan sepenuh kepercayaan tanpa bermain-main); tiada tuhan selain Allah, Muhammad adalah utusan Allah. Kerana itu para ulama’ mengaitkan syahadah dengan iman.Dan iman itu hanyalah akan sempurna bilamana adanya (1) pembenaran dalam hati, (2) pernyataan dengan lisan dan (3)tindakan dengan anggota badan. Jadi, belumlah benar iman seseorang yang enggan menurut syariat Islam sekalipun dia mengucapkan kalimah syahadah. Rasulullah saw bersabda:”Tidaklah disebut iman bila hanya dengan angan-angan dan hiasan. Akan tetapi, iman adalah sesuatu yang tertanam dalam hati dan dibuktikan dengan amal” (HR Ibnu An-Najar dan Ad-Dailami) (1) Pembenaran dalam hati (Tasdiq bi Al-Janan) Pernah dengar kisah tentang Abdullah bin Ubai? Abdullah bin Ubai adalah seorang yang sepatutnya memegang tampuk kuasa di Madinah. Di singkat cerita, beliau terpilih pembesar Madinah yang tertinggi sebelum kedatangan Rasulullah saw. Tapi dengan peristiwa Bai’ah Aqobah, pengIslaman massal orang-orang Madinah, dan syuro untuk menerima kedatangan Rasulullah saw, keluarga dan sahabat Makkah Muhajirin yang beriman, akhirnya Rasulullah saw yang dipersetujui sebagai pembesar tertinggi Kota Madinah. Dalam keadaan tidak mahu kehilangan pengaruh kaum dan masyarakat Madinah amnya, Abdullah bin Ubai pun turut beriman dalam keadaan rasa enggan kerana merasakan Rasulullah saw seolah perampas kerusi kedudukan yang sepatutnya menjadi miliknya. Lantas keimananya adalah iman yang diupayakan kesolehannya lewat keinginan peribadi yang tak ingin kehilangan pengaruh diri. Al hasil, sejarah mencatatkan upaya belot beliau dalam kisah orang-orang munafik tidak ikut serta Perang Uhud, rencana pembunuhan Rasulullah saw dll peristiwa. Syahadah beliau adalah syahadah yang diupayakan dengan lidah dan tindakan tapi tanpa hati yang mengiringi. Hingga ketika Abdullah bin Ubai meninggal, Allah menurunkan firman – sekaligus mengiktiraf kemunafikan beliau, “Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan jenazah seorang yang mati di antara mereka dan janganlah kamu berdiri mendoakan di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan rasulNya dan mereka mati dalam keadaan fasik (At Taubah 9:84) (2) Pernyataan dengan Lisan (Iqrar bi Al-Lisan) Abu Tolib- pembesar Quraisy itu tidak lain adalah pakciknya Sang Rasul SAW yang sangat beliau kasihi. Sewaktu orang-orang menolak dakwah Sang Rasul saw, dia mengerahkan seluruh tenaga dan fikirannya untuk membela anak saudaranya yang Al-Amin, “Anak adikku, pergilah dan katakan apa saja yang kamu sukai. Demi Allah, kamu tidak akan kuserahkan kepada siapa pun juga selamanya” Tetapi ketika sakaratul maut menghampiri dirinya dan Rasulullah saw berusaha menuntun lisannya, “Abang ayahku, ucapkan lailahaillallah, satu kalimat yang dapat aku jadikan hujah untuk membela anda di sisi Allah”, dia bersikukuh menolak hingga maut menjemputnya. Rasulullah saw memohonkan doa dan ampunan buatnya hingga Allah menurunkan ayat, “Tidaklah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabatNya, sesudah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni Neraka Jahannam” (At Taubah 9:113) Dengan turunnya ayat tersebut, jelaslah bahawa seseorang yang tidak bersedia mengucapkan kalimah syahadah dgn lisannya akan tertolak amalannya, sebaik apa pun amalnya di dunia. (3) Tindakan dengan Anggota Badan (‘Amal bil Al-Arkan) Dalam sejarah kehidupan kita, kita pasti selalu mendengar cerita tentang iblis. Iblis yang merupakan makhluk ghaib, pernah bersama malaikat di alam langit bahkan pernah berkomunikasi langsung dengan Allah swt. “Dan ingatlah ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Maka mereka pun sujud kecuali iblis. Dia adalah dari golongan jin, maka dia mendurhakai perintah Tuhannya? Pantaskah kamu menjadikan dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, padahal mereka adalah musuhmu? Sangat buruklah iblis itu sebagai pengganti Allah bagi orang yang zalim” (Al-Kahf 18:50). Bila kita menelusuri tentang iblis, satu yang kita jelas ialah Iblis memang membenarkan kewujudan, bahkan keTuhanan dan kekuasaan Allah. Tapi pembenaran dalam hati dan lisan sahaja tentang kekuasaan Allah tanpa pembenaran dengan tindakan anggota badan – enggan sujudlah yang menjadikannya dikeluarkan dari syurga. Jadi, mari kita recheck diri kita. Adakah dalam syahadah kita, kita juga ada dengan sengaja merasa enggan hati, lidah dan diri terhadap bingkai-bingkai syariat Islam? Mungkin saja, enggan memakai hijab, enggan memakai pakaian yang tidak menampakkan bentuk tubuh, enggan hati terhadap hak perwarisan dalam Islam, enggan hati terhadap hukum poligami yang ditetapkan Allah dll lagi? Mari memuhasabah syahadah kita untuk memastikan syahadah kita minima tidak menjadikan kita tersungkur di pintu syurga. Lailahailla anta, subhanaka inni kuntu minazzolimin. *** Cubaan, godaan, kesenangan, penderitaan, kesulitan dan berbagai nuansa kehidupan terus silih berganti menimpa manusia. Seperti mana dinamiknya kehidupan yang kita lalui, seperti itulah dinamiknya iman kita. Oleh itu, ada orang yang mengawali harinya dengan iman, tapi luntur di tengah hari. Di pagi hari hatinya mantap dengan syariat Allah, di waktu asar hatinya jauh dari syariat Allah. Kerana itu sifat iman disebut yazid wa yanqus (naik dan turun). Ada masanya iman kita di atas, lalu bertebarlah amal soleh buah dari iman yang baik. Ada masanya iman di bawah, lantas, berciciranlah amal soleh. Kerana adanya pertentangan dan pergolakan diri setelah iman menancap, adalah juga sikap istiqamah. Kata Umar Al Khatab, istiqamah adalah konsistennya ketaatan. Pernah, Muadz bin Jabal menghadap Rasulullah saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, katakan kepadaku tentang Islam yang saya tidak mendapatkannya dari yang lain” Beliau menjawab, “Katakan, aku beriman kepada Allah, lalu istiqamahlah” Dengan kata lain, yang dituntut dari kita bukan hanya sekali persaksian iman, akan tetapi diikuti dengan mujahadah untuk mempertahankan iman. Istiqamah atau konsisten dalam iman merupakan keharusan untuk menunjukkan keimanan telah merasuki jiwa dan menempati liang-liang roma pernafasan dan pengaliran darah kita. Dan iman hanya akan terbukti istiqamah pada masa ia tahan ujian dalam setiap perjalanan kehidupan kita. “Alif lam mim. Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar keimanannya dan Dia mengetahui orang-orang yang dusta (Al-Ankabut 1-3) Sikap istiqamah ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw sewaktu menjalani kehidupan penuh tentangan di Makkah & Madinah. Pembelaan yang prima terhadap nilai keimanan mereka tunjukkan dalam ketegaran sikap menghadapi berbagai cubaan. Tidak goyah oleh rayuan dan godaan, tidak mundur oleh tekanan dan cercaan. Inilah iman yang istiqamah yang terukir dalam sejarah perjuangan generasi keemasan Islam. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar. (Al-Hujurat 15) Istiqamah bukan sifat amal yang mudah dimujahadahkan. Hingga tidaklah menghairankan bila Allah berjanji untuk menghadirkan malaikat-malaikatnya buat mereka yang istiqamah sebagai pelayan-pelayan yang menghiburkan hati yang gundah dan ketakutan di samping syurga dan apa sahaja yang kita inginkan…”Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan “Tuhan kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (istiqamah), maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih; dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta” (Fussilat 41: 30-31) Subhanallah wal hamdulillah. Cukuplah ayat ini menunjukkan betapa Allah memberikan penghargaan, perhatian dan kasih sayang kepada orang-orang beriman yang meneguhkan pendirian mereka, sekaligus janji yang pasti terpenuhi. Allah, semoga Engkau sudi untuk melihat hati ini dan melihat jiwa ini. Bimbing dia untuk menguatkan tekad,bermujahadah dalam rangka yang Engkai redhai. Tiap jalan-jalanku kutempuh dengan simpang-simpang selain jalanMu, bantulah aku dengan menghadirkan malaikat-malaikat yang membimbing baik dalam rerupa sahabat-sahabat yang mengingatkan, bacaan-bacaan Al-Quran dan buku atau meski dari lintasan-lintasan hati yang mendidik. Sesungguhnya Allah, tanpaMu, tiadalah aku mempunyai daya apapun untuk beramal soleh. Ihdinassirotal mustaqim… “Ya Allah kurniakan kami lisan yang lembut, basah mengingati dan menyebut namaMu,hati yang penuh segar mensyukuri NikmatMu, serta badan yang ringanmenyempurnakan ketaatan kepada perintahMu. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sempurna, hati yang khusyuk, ilmu yang bermanfaat,keyakinan yang benar-benar mantap. Ya Allah, kurniakan kami diin- cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon, Allah kecukupan yang tidak kami memerlukan jasa orang lain. Berikanlah kami Ya Allah, iman yang sebenar-benarnya hingga kami tidak lagi gentar atau mengharapkan orang lain selain dari Engkau sendiri. Kembangkanlah lembayung rahmaMu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta siapa saja yang bersama-sama kami. Jangan Ya Allah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih pendek dari itu. Wahai Tuhan yang memperkenankan doa, perkenankanlah.Selawat dan restu Allah untuk junjungan kami Muhammad, Nabi yang mulia, kepada keluarga Baginda dan para sahabat Baginda”.Amin..Ya Rabbal ‘Alamiin. Diadaptasi dari buku: Syahadat & Makrifatullah Cahyadi Takariawan, Wahid Amadi & Abdullah Sunono

No comments:

Post a Comment