Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat
perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah
ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana
sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka
berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).
[13]
Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum
yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam
hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi
kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu
memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar
perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?
[14]
Perangilah mereka, nescaya Allah akan
menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan
menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan
memuaskan hati orang-orang yang beriman.
[15]
Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan
hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat
orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
[16]
Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan
dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti
kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad
di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk
mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya
serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui
secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.
ATTAUBAH.
No comments:
Post a Comment