Sebelum
kita sibuk mempertikaikan adakah Mat Indera pejuang kemerdekaan atau
tidak, rasa eloklah kita kenal siapa Mat Indera sebenarnya. Kita jangan
jadi seperti Mat Sabu yang berkokok keliling kampung tentang Mat Indera
tetapi tidak mengenali siapa Mat Indera.
Nama sebenar Mat Indera ialah Muhammad bin
Indera tetapi lebih dikenali sebagai Mat Indera atau Bong Mahmudiah yang
dilahirkan pada 29 Disember 1920 di Batu Pahat, Johor. Bapanya Indera
bin Mat Salleh berasal dari Siak, Sumatera dan merupakan anak kedua
daripada 7 adik beradik. Ibunya Maimunah bt Daud berasal dari Batu
Pahat. Selain itu, Mat Indera juga mempunyai 4 adik beradik tiri hasil
perkahwinan kedua bapanya bersama Zainah bt Dasuki yang berasal dari
Bukit Pasir, Muar. Beliau mula menjadi guru agama sejak berumur 18 tahun
dan mengajar di Parit Stongkat, Muar pada tahun 1938 dan turut mengajar
di Pontian pada tahun 1941.
Selepas British mengambil alih semula Malaya
daripada Jepun, Mat Indera telah menubuhkan Malay Nationalist Party
(MNP) pada tahun 1947 di Muar dan turut menjadi setiausaha Muar Malay
Harbour Board Labour Union. Memandangkan modus operandi PKM merekrut
kader-kader baru komunis melalui kesatuan sekerja, Mat Indera turut
dijadikan sasaran apabila beliau mula direkrut oleh G.H Jasman, wakil
Seksyen Melayu PKM bermula pada bulan Januari 1948 yang sering
melawatnya dan berusaha mendoktrin Mat Indera dengan ideologi perjuangan
komunis sehingga mendapat simpati Mat Indera.
G.H Jasman turut memberikan beberapa buah buku
berkenaan komunis kepada Mat Indera yang antaranya bertajuk What is MCP
yang ditulis oleh Komrad Wright@Lai Tek
sendiri. dan buku bertajuk Dialectic Materialism. Walaupun teori tentang
komunis yang cuba diketengahkan oleh buku-buku tersebut jelas
bertentangan dengan Islam, G.H Jasman akhirnya dapat mempengaruhi dan
memujuk Mat Indera menerima perjuangan komunis dan menyertai PKM dengan
alasan komunisme berbeza dengan agama dan Mat Indera turut dibenarkan
mengamalkan Islam selagi tidak menjejaskan aktiviti komunis. Mat Indera
akhirnya menyertai PKM pada 13 Julai 1948 dan dilantik sebagai Pegawai
Am dalam Gerila Melayu Malaya, sayap Melayu PKM dan terus menjalankan
aktiviti komunis dalam usaha meresapi dan menyusup dalam masyarakat
orang Melayu di sekitar Muar dan Batu Pahat melalui surau dan masjid.
Latar belakang sebagais eorang guru agama Mat Indera telah dieksploitasi
komunis dalam usaha merekrut orang Melayu menyertai komunis dan memberi
sokongan kepada perjuangan komunis yang telah banyak menzalimi orang
Melayu terutama di era Bintang Tiga hingga mewujudkan kebangkitan orang
Melayu melalui Perjuangan Pahlawan Parang Panjang. Akibat keganasan dan
kezaliman komunis semasa Bintang Tiga terhadap orang-orang Melayu, PKM@Bintang Tiga telah dicop sebagai musuh utama orang Melayu pada waktu itu.
Mat Indera turut terlibat ketika serangan
terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 dan menjadi
watak utama menjadi orang tengah meminta polis menyerah diri kepada
komunis. Pada 14 Oktober 1952 Mat Indera telah ditangkap oleh
orang-orang kampung Parit Warijo, Sri Medan, Batu Pahat. Mat Indera
telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 18
November 1952 kerana memiliki senjata api secara haram. Rayuan Mat
Indera supaya hukumannya diringankan ditolak pada 2 Disember 1950 dan
hukuman gantung terhadapnya telah dijalankan pada 30 Januari 1953 di
Penjara Taiping. Jenazahnya telah dikebumikan di Kg. Jambu Air, Taiping.
Untuk makluman juga, Mat Indera pernah dipenjarakan selama 2 bulan pada
tahun 1946 kerana menjual beras secara haram.
Begitulah serba sedikit tentang perjalanan
hidup Mat Indera yang menimbulkan konflik bagi mengiktiraf beliau
sebagai pejuang kemerdekaan tetapi cara perjuangannya jelas menyalahi
norma masyarakat pada waktu itu. Tukang Screw sedang cuba menghubungi
adik Mat Indera iaitu Baharum Shah Indera yang juga merupakan seorang
pesara tentera bagi mendapatkan beberapa butiran lanjut kenapa keluarga
mereka berhijrah keluar dari Johor kerana dikatakan tidak mahu dicop
sebagai agen komunis dan menyokong perjuangan Mat Indera.
Wallahualam. Al-Fatiha untuk Allahyarham Mat Indera sebagai saudara seIslam, moga rohnya diterima bersama orang-orang beriman.
No comments:
Post a Comment