Thursday, October 27, 2011

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Az-Zumar; 53 "...Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu..." Al-A'raf; 156 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم بسم الله الرحمن الرحيم Dengan Nama Allah ku mulakan tulisan ini. Moga disana ada keberkatan dan faedah untuk umat manusia khususnya Umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah bahawasanya rahmatNya meliputi setiap sesuatu. Segala hal yang telah terjadi, sedang terjadi malah yang akan terjadi, pasti ada rahmat yang menaunginya. Allahu Rabbul Izzati. Rabbul Alamin. Tuhan yang menciptakan manusia itu dengan secukup rasanya. Pada diri manusia itu terdapat keistimewaannya, terdapat juga cacat celanya. Tiada manusia yang bersifat sempurna kerana sifat sempurna itu milik mutlak Allah SWT. Jadi, hakikatnya kita semua pasti akan terlanjur. Perbuatan kadang melebihi batasnya. Pergaulan kadang melepasi sempadannya. Kata-kata kadang pasti celupar. Tetapi insan, tiadalah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia. Seperti Firman Allah tadi, rahmatnya meliputi segala sesuatu. Kalaupun dosa kita menggunung tinggi, ingatlah bahawa itu bukan penghujungnya. Tuhan itu maha Pengampun, maha Penerima taubat. Pastilah Dia menciptakan perbuatan dosa itu untuk membuktikan kehebatanNya dalam memberi kemaafan. KemurahanNya dalam memaafkan melebihi segala-galanya. Sehingga dikatakan dalam satu hadith Qudsi: "...sesiapa yang menghadapKu dengan memikul dosa sepenuh bumi dengan tanpa menyekutukanKu sedikit pun, maka Aku akan menemuinya dengan keampunan sepadan dengan banyaknya dasanya itu" Seperti juga firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 53: "....Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" Kuncinya, Janganlah berputus asa! ya, janganlah kita semua berputus asa dengan rahmat Allah. Ketahuilah Allah itu maha Luas sifatnya, luas dari segala macam perkara. Luas rezekiNya, Rahmatnya, Keampunannya dan Perlindungannya. Jadi, jika Dia sudah menjanjikan keampunan untuk kita, kenapa kita masih lagi duduk termenung memikirkan dosa-dosa kita yang lepas? Ada satu analogi. 2 orang lelaki. Masing-masing mempunyai rumah sendiri. Setiap hari mereka membawa kotoran dari luar dan masuk kedalam rumah. Tetapi yang membezakan antara duanya, setiap pagi, lelaki pertama akan sapu smapah-sampah itu dan membuangkan kedalam tong sampah. Jadi, setiap hari sebelum pergi bekerja, rumah lelaki pertama bersih tetapi rumah lelaki kedua penuh dengan sampah. Sedangkan, lelaki kedua boleh saja sapu sampah-sampahnya seperti yang dilakukan lelaki pertama tadi. Begitulah insan. Setiap hari kita mempunyai kecenderungan melakukan dosa, tetapi kita juga mempunyai kesempatan untuk bertaubat. Jika kita simpan dosa-dosa kita seperti lelaki kedua tadi menyimpan sampah-sampahnya, pasti hati kita akan gelap. Seperti sabda Nabi Muhammad: "Bertakwalah Kepada Allah Dimanapun Kamu Berada Dan Ikutilah Perbuatan Buruk Dengan Perbuatan Baik Niscaya Akan Menghapuskan perbuatan buruk itu" Sekian dahulu. Moga disana ada menfaatnya untuk kita bersama. Allah, Rahmatilah kami! =) -anak.soleh-

No comments:

Post a Comment