Monday, December 26, 2011

Fazura yang terkenal dengan watak antagonis kini tampil berlainan dalam drama terbaru lakonan beliau, ‘Tahajjud Cinta’ yang akan ke udara di slot Zehra TV3. Membawakan watak pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Jordan, Fazura muncul mengenakan purdah selain perlu berbahasa Arab dalam kebanyakan babak lakonan beliau. Karya terbaru arahan Eirma Fatima ini bakal menemui penonton mulai 8 Julai 2011. Ketika bertemu Fazura di sidang media yang diadakan di Sri Pentas baru-baru ini, GUA sempat bertanyakan pengalaman Fazura ketika menjalani penggambaran untuk drama ‘Tahajjud Cinta’. “Faz akui memang susah nak menghayati watak Citra dan perlu cepat belajar. Faz perlu mendalami bahasa Arab dan beberapa kali jugalah meminta bantuan banyak pihak sebab tidak pernah buat sebelum ini. Walaupun ini satu cabaran baru, tetapi Faz bangga kerana dapat berikan yang terbaik untuk drama ini. Faz kena hafal sekaligus semua skrip Bahasa Arab tersebut. Bukan setakat banyak, malah ayatnya panjang-panjang. Terima kasih buat Kak Eirma kerana banyak membantu Faz . Tambahan pula, dialog Arab itu Faz kena cakap semuanya ‘on the spot’.” Memberitahu bahawa ini adalah karya yang ketiga dia bekerjasama dengan Eirma Fatima, pelakon filem ‘Pisau Cukur’ ini melahirkan rasa syukur apabila terpilih membawakan watak mencabar dalam drama ini kerana ia merupakan peluang yang selama ini ditunggu oleh Fazura. “Kita tahu kemampuan Kak Eirma sendiri melalui cara dia mengarah untuk teater Natrah. Jika dilihat impaknya, semua tidak meragui kehebatan teater tersebut . Bagi Faz, tidak banyak pengarah yang betul-betul menjaga lakonan pelakon dia seperti Kak Eirma. Belajar berlakon bersama Kak Eirma merupakan satu pengalaman yang berharga buat Faz. Karakter yang pernah Faz bawa sebelum ini kebanyakkannya adalah watak seorang yang baik, selalu bermain dengan air mata dan teraniaya. Jadi, bila Faz kembali ke bidang ini Faz mahu buat sesuatu yang berbeza. Sudah setahun lebih Faz tidak menceburkan diri dalam mana-mana produksi. Jadi Faz memang menantikan naskah yang akan memberi impak yang mencabar sebagai seorang pelakon. Jadi, bila Kak Eirma beri tawaran ini pada Faz, Faz terus terima sebab sudah lama Faz ternanti-nantikan watak berat seperti Citra ini.” Dalam masa sama, pelakon berusia 28 tahun ini turut mengulas kesusahan ketika mengenakan purdah. Tetapi menurutnya, berpurdah adalah sesuatu yang bagus malah Fazura berasa seronok ketika berpakaian sebegitu. “Mula-mula memang lemas dan rimas. Tetapi lama kelamaan Faz rasa ‘ok’. Malah rasa berpurdah adalah cara yang lebih baik kerana bila Faz keluar makan tengah hari dengan berpurdah, orang tidak kenal Faz,“ ujarnya sambil ketawa dalam masa yang sama memasang angan ingin berpurdah satu hari nanti.

No comments:

Post a Comment