Tuesday, December 27, 2011

RASULULLAH s.a.w. bersabda: “Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam pada waktu ia dagang.” - Hadis Riwayat Muslim Islam dan dakwahnya bermula dalam keadaan dagang. Islam sewaktu mula didatangkan di Makkah al-Mukarramah, asing dan tidak dikenali oleh masyarakat. Oleh kerana ghurbah (dagang/ganjil) dan unik maka Islam dibenci dan dimusuhi. Pembawa dan pendukung-pendukungnya dizalimi dan dihadapkan dengan berbagai mehnah dan tribulasi. Akibatnya, ada yang kehilangan penglihatan, ada yang gugur syahid, yang terpaksa berhijrah ke Habsyah dan akhirnya pendukung-pendukung Islam berhijrah ke Madinah demi mencari keredhaan Allaw SWT dan merealisasikan Islam di dalam wajah yang murni sebagai ad-Din. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya yang bermaksud: “Bagi orang-orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka kerana mencari kurnia daripada Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah orang-orang yang benar.” - Al-Hasyr: ayat 8 Faktor dagang pertama Terdapat pelbagai faktor Islam dagang kali pertama yang dikemukakan oleh pihak tertentu seperti faktor politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Namun, di sana terdapat satu faktor terbesar yang menyebabkan Islam dagang iaitu faktor akidah Islam yang berlawanan dengan jahiliah atau kufur. Islam mengajak kepada akidah yang sahih, serta realiti hidup salimah, syamilah dan kamilah yang mana bertentangan dengan kekufuran. Islam dan kekufuran sentiasa dalam keadaan harb (peperangan). Kekufuran tidak dapat menerima Rububiyyah dan Uluhiyyah Allah SWT. Kekufuran tidak menerima undang-undang dan hukum-hukum Allah SWT berjalan dan berkuasa di bumi. Firman Allah SWT, bermaksud: “Tiada kekuasaan memerintah itu melainkan Allah sahaja. Dia memerintah supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya, kerana yang demikian itu adalah Din yang lurus.” - Yusuf: ayat 40 Inilah faktor terbesar. Faktor ini wujud di setiap zaman, hatta pada zaman sekarang walaupun faktor-faktor tersebut tersembunyi di sebalik faktor-faktor lain. Dengan ketentuan Allah SWT dan pertolongan-Nya serta berkat usaha, pengorbanan dan jihad Rasulullah s.a.w. bersama-sama para sahabat r.a. yang sabar dan ikhlas, maka ghurbah (dagang) tersebut telah hilang. Akhirnya petunjuk dan rahmat Allah SWT diterima, dihayati dan didaulatkan sepenuhnya di Madinah al-Munawarah. Pengorbanan dan jihad Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat beginda telah diterima dan diredhai Allah SWT. Mereka adalah contoh ikutan bagi kerja-kerja dakwah untuk mendaulatkan Din Allah. Allah SWT telah mengabagikan pengorbanan mereka dalam firman-Nya yang bermaksud: “Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikut mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah dan di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan besar.” - Surah at-Taubah: ayat 100. Ghurbah Ath-Thaniyah (dagang kedua) Generasi pertama iaitu generasi al-Quran yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. telah berlalu. Kerja-kerja mereka telah selesai. Kelemahan umat Islam dan kelemahan pimpinan dalam generasi-generasi selepas mereka telah berlaku. Daulah Islamiyah telah jatuh satu persatu dan yang terakhir ialah kejatuhan Daulah Uthmaniyah di Turki. Serentak dengan itu, pengaruh sekularisme yang ditaja oleh penjajah telah bertapak, menular dan berkembang pesat di seluruh negara yang diperintah oleh umat Islam. Pengaruh ini terus berakar umbi hingga kini di negara-negara Islam tanpa kecuali. Akibatnya Islam kembali ghurbah untuk kali kedua. Kini realiti menunggu rijal-rijal untuk menghilangkan Ghurbah Ath-Thaniyah. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Islam telah bermula dengan dagang dan ia akan kembali dagang, maka berbahagialah mereka bersama Islam pada waktu ia dagang.” - Hadis Riwayat Muslim Dalam sabda baginda yang lain, yang bermaksud: “Beruntunglah sesiapa yang beriman denganku walaupun tidak melihatku (bersamaku)”.

No comments:

Post a Comment