Tuesday, January 31, 2012

Kenapa Nik Aziz menyinga kepada cadangan kerajaan perpaduan ? Oleh SYED ALI ALHABSHEE BUAT apa saya nak kaji peribadi Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat? Buruk atau baik itu peribadi beliau. Tetapi saya berpegang kepada cakapnya kerana percakapan beliau sarat dengan rasa sakit hati dan benci kepada UMNO, parti orang Melayu dan umat Islam terbesar di negara ini. Jika Nik Aziz tidak takbur, maka sebagai Tok Guru beliau tidak boleh tuduh mereka yang sokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai boneka UMNO, apa lagi dia juga ‘marah’ kepada presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang kerana lontarkan idea tersebut yang disifatkannya mengarut. Saya cuma berharap tidak akan ada ahli-ahli PAS terutama mereka yang terlalu taksub dengan Nik Aziz akan menganggap apa sahaja perkataan yang terkeluar (sama ada sengaja atau tidak) daripada mulut beliau akan dianggap sebagai fatwa. Kita kecewa dan sedih kerana seorang Tok Guru seperti Nik Aziz sanggup marah dan melenting kerana ada usaha untuk merapatkan jurang perpecahan umat Islam khususnya melibatkan PAS – UMNO. Makna daripada kemarahan beliau itu menggambarkan Nik Aziz sememangnya tidak suka PAS bersatu dengan orang Melayu (Islam) daripada UMNO, tetapi sebaliknya dia seperti seronok bersubahat dengan bukan Melayu daripada DAP termasuk parti Keadilan Rakyat (PKR). Sikap cepat melenting dan dikuasai oleh sifat marah tidak molek kepada seorang Tok Guru seperti beliau yang turut menduduki kerusi Mursyidul Am PAS. Kita masih bernasib baik kerana Nik Aziz sekadar marah kepada Haji Abdul Hadi, tidaknya mencarut ! Kerana itu, boleh lah saya berterima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar kerana meminta saya mengkaji keperibadian Nik Aziz sebelum membuat tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin itu sebagai takbur. Kamaruddin, bekas pemimpin UMNO di Bahagian Tumpat, Kelantan dan merupakan sababat paling akrab kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersusah payah menjawab kritikan saya kepada Nik Aziz seperti yang disiarkan oleh akhbar Sinar HARIAN hari ini. Pendirian Kamaruddin amat jauh berbeza dengan sikap Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa yang sentiasa optimis dengan idea Haji Hadi dan menaruh keyakinan cadangan kerajaan perpaduan akan merintis jalan kesepakatan demi kepentingan umat. Saya ingin ulangi bahawa pemimpin PAS, termasuk Nik Aziz tidak menggambarkan integriti Islam yang sebenarnya. Jika berpegang kepada ajaran agama dan sunnah, sudah tentu mereka tidak mudah melenting, menabur fitnah, buruk sangka, riak dan takbur. Oleh sebab itu untuk menghalang cadangan kerajaan perpaduan, Nik Aziz lebih gemar bermain kepada fakta sejarah lampau apabila PAS meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada tahun 1974. Sebagai ‘orang tua’ yang semakin lanjut usia, saya berasakan bahawa Nik Aziz tidak sepatutnya bersandarkan kepada kisah lampau, sebaliknya perlu melihat kehadapan demi kepentingan umat Islam. Saya pun kadang-kadang berasa hairan, kenapa marah sangat Nik Aziz kepada UMNO? Apakah jika terbentuknya kerajaan perpaduan, beliau akan dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan ? Saya fakir belum lagi sampai ke tahap itu. Kerana sifat marah yang diselimuti perasaan takbur itu, maka apa jua kebaikan yang dilakukan oleh UMNO untuk kesejahteraan rakyat akan dilihat dengan bermacam tuduhan seperti penyelewengan dan rasuah. Sebaliknya apa juga yang dilakukan pembangkang, seperti memaki hamun Raja-Raja Melayu dan berperangai seperti badut sarkas di Parlimen akan dilihat oleh Nik Aziz sebagai kematangan politik pembangkang. Malahan jika tidak kerana takbur, masakan Nik Aziz tergamak memarahi Haji Hadi, seorang Presiden PAS yang dipilih oleh ahli-ahlinya secara terbuka ? Ini menunjukkan perasaan hormat kepada orang lain seperti tidak ada dalam diri Nik Aziz. Sebagai Tok Guru, Nik Aziz sepatutnya terlebih dahulu bermuzakarah dengan Haji Hadi dan mempamerkan sikap berlapang dada, bukannya melenting dan marah menyinga ! Posted by syed ali alhabshee at 12:04

No comments:

Post a Comment