Sunday, February 5, 2012

Di akhbar Sinar Harian semalam tersiar satu berita yang tak kurang panasnya bertajuk ‘Sasterawan Negara Shahnon Bidas Kerjasama PAS-DAP’. Berita itu sebenarnya menaikkan takat didih darah penyokong-penyokong totok PAS yang sebelumnya dikejutkan dengan hentaman keras Exco Selangor, Datuk Dr Hassan Ali yang kini telah pun bergelar ‘bekas ahli PAS’ kerana dipecat dari parti itu. Dipercayai esok, lusa, tulat dan hari-hari seterusnya banyak lagi adegan menghentam dan membantai PAS yang akan dilakukan oleh ahli-ahli PAS sendiri. Tak percaya, tunggulah tengok. Apa yang terjadi pada PAS itu secara langsung menyebabkan penulis teringat pada kata-kata seorang sahabat, penyokong PAS yang selepas Muktamar parti itu Jun lalu, memilih untuk menjadi orang atas pagar. Katanya, “Kalau korup UMNO dah tak boleh dirawat, bodoh PAS juga dah tak boleh diubat…’ Wallahualam. Berikut disiarkan berita penuh kritikan SN Dato’ Shahnon Ahmad yang pernah menjadi pujaan PAS dan pakatan pembangkang suatu ketika dahulu itu: GEORGETOWN – Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad tidak setuju dengan dasar kepimpinan Pas sekarang yang mengadakan kerjasama dengan DAP. Kedua-dua parti itu dan PKR merupakan komponen Pakatan Rakyat. Menurut beliau, konsep kerjasama antara Pas dan DAP sekarang ini bertentangan dengan konsep yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW. “Rasulullah SAW pada zaman dahulu tidak bekerjasama dengan musyrikin, sebaliknya baginda meletakkan syarat untuk mewujudkan keharmonian atau keamanan. “Saya tidak bersetuju dengan kerjasama antara Pas dan DAP ini,” kata beliau kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan beberapa ahli Pas Tanjong di rumahnya di sini, hari ini. Shahnon yang juga bekas Ahli Parlimen Sik turut menolak penggunaan istilah ulama dan profesional dalam kalangan pemimpin Pas masa kini. Menurutnya, istilah profesional adalah mengikut sesuatu disiplin kerjaya seperti kedoktoran, kejuruteraan dan pendidikan. “Profesional adalah pakar seperti saya digelar profesor kerana saya adalah profesor dalam kesusasteraan. “Pas tidak nampak ulamanya melainkan (Mursyidul Am) Tok Guru (Datuk) Nik Aziz Nik Mat sahaja,” katanya. Shahnon yang terkenal dengan buku S.H.I.T sebelum ini berkata, pandangannya sekarang ini tidak lagi mahu didengar oleh sesiapa pun kerana sudah lama tidak aktif dalam politik. Sungguhpun begitu, beliau masih aktif menjadi penulis kolum bagi sebuah majalah sastera. Beliau menjalani pembedahan injap tahun lalu. Beliau turut melahirkan rasa kurang senang hati dengan peningkatan jenayah di negara ini. “Sepatutnya hududlah yang dijalankan iaitu hanya ke atas orang Islam. Inilah caranya untuk mengatasi jenayah,” katanya.

No comments:

Post a Comment