PEACENOTWAR MAKEFRIENDNOTENEMY FEAR ALLAH NOT MAN.ISLAM MEANS PEACE.ISLAM FOR ALL. MUSLIMS ARE NOT TERRORIST AND TERRORIST ARE NOT MUSLIM.PLEASE BE INFORMED THAT ALL PICTURES AND TEXT IN THIS BLOG ARE TAKEN FROM THE WEB UNDER FAIR USE TREATY AND FOR MY PERSONAL COLLECTION.IF THEIR OWNERS DO NOT LIKE THEIR PICTURES OR ARTICLES APPEAR IN THIS BLOG,PLEASE CONTACT ME TO DELETE..THANKS.
Saturday, February 11, 2012
Junjungan Besar Nabi Muhamad s.a.w Manusia Paling Istimewa
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Allahumma Sholli Alaa Sayyidina Muhammad Wa alaa Alihi Sayyidina Muhammad (ya Allah kurniakanlah rahmatMu ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarga Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.).
Allahumma Solli ‘ala Saiyidina Muhammad Wa ‘ala ali Saiyidina Muhammad. Ya Rasulullah Ya Habiballah Ya Nabi Allah Salamun Salam Anbiya’ Allah. Khususan Muhammad Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. telah menunaikan amanah dengan sempurna , menasihati ummah, menghapuskan dukacita dan berjihad di jalan Allah sehingga kewafatan baginda s.a.w. Kemudian baginda kembali ke hadrat Tuhannya dalam keadaan reda dan diredai, sebagaimana firman Allah s.w.t.:
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati. (al Zumar: 30)
Allah s.w.t. menyifatkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai hamba-Nya, pada setinggi-tinggi kedudukan ketika Allah menceritakan anugerah Isra’ kepada baginda sebagaimana firman-Nya:
Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya… (al-Isra: 1)
Begitu juga firman Allah: Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah (Nabi Muhammad s.a.w.) berdiri mengerjakan ibadat kepada-Nya, mereka (golongan jin yang mendengar bacaan ayat al-Quran baginda di dalam solatnya) hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya. (al Jin: 19)
Sifat manusiawi Nabi Muhammad s.a.w. inilah merupakan mukjizat dan keistimewaan bagi rasulullah s.a.w. Baginda adalah manusia seperti manusia yang lain, tetapi baginda jelas jauh berbeza daripada manusia umum, tanpa ada seorang manusia pun yang dapat menandinginya atau menyamainya.
Dengan ini, jelaslah bahawa menyifatkan Rasulullah s.a.w. sebagai manusia biasa wajib disertai dengan keistimewaan yang membezakan Baginda daripada manusia umum; dengan menyebut keistimewaannya yang tersendiri dan biografinya yang terpuji.
Tuntutan ini bukan sahaja khusus terhadap Rasulullah s.a.w., bahkan terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain supaya pandangan kita terhadap mereka bersesuaian dan layak dengan martabat dan kedudukan mereka.
Jika kita memandang mereka hanya sebagai manusia biasa semata-mata, tanpa mengaitkannya dengan ciri-ciri khusus atau istimewa mereka sebagai nabi dan rasul, maka kita telah terjerumus ke dalam tradisi dan sikap orang jahiliah.
Perkataan “para rasul sama manusia biasa” dan sikap menyamakan para Rasul dengan manusia biasa lain hanya dilakukan oleh orang-orang kafir sahaja.
Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh hal tersebut. Antaranya, perkataan kaum Nabi Nuh a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah dalam firman-Nya:
Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir daripada kaumnya, “Kami tidak memandangmu (wahai Nuh!) melainkan sebagai seorang manusia seperti kami”. (Hud: 27)
Ayat yang lain adalah perkataan kaum Nabi Musa a.s dan Harun a.s mengenai nabi mereka sebagaimana yang dihikayatkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran:
“Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya). Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedangkan kaum mereka (Bani Israel) menjadi orang-orang suruhan kita?” (al-Mukminun: 47)
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh kaum Thamud kepada nabi mereka, iaitu Nabi Saleh a.s, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam al-Quran:
Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; oleh itu, bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau daripada orang-orang yang benar. (al-Syu’ara’: 154)
Hal yang sama pernah juga dilakukan oleh kaum Nabi Syuaib a.s yang memandang nabi mereka sebagai manusia biasa, bahkan sebagai seorang pendusta, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah melalui firman-Nya:
Mereka berkata, “Sesungguhnya engkau adalah dari kalangan pelaku sihir. Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami; dan sesungguhnya kami fikir engkau ini daripada orang-orang yang dusta. (al- Syu’ara’: 185)
Begitu juga dengan apa yang dikatakan oleh orang musyrikin terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Mereka hanya memandang Muhammad s.a.w. sebagai manusia biasa, sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran:
Dan mereka pula berkata, “Mengapa Rasul ini makan, minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)?” (al-Furqan:7)
Allah s.w.t. menekankan kepentingan kita melihat sudut kerasulan Rasulullah s.a.w., bukan sudut kemanusiaan Baginda s.a.w.
Allah s.w.t. berfirman: “Bukanlah Muhammad itu bapa daripada seorang lelaki di antara kamu, tetapi Baginda adalah Rasul Allah dan penutup nabi-nabi. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Ahzab: 40)
Menganggap Nabi Muhammad s.a.w sama sahaja dengan manusia yang lain pada semua keadaan dan sifat-sifat mereka, adalah suatu tanggapan yang jelas salah dan kejahilan yang ditolak sama sekali oleh dalil-dalil yang sahih dari al-Quran dan sunnah.
Jika Nabi Muhammad s.a.w. tidak mempunyai ciri-ciri istimewa dan khusus, apakah hikmah dan faedah terpilihnya mereka menjadi nabi dari manusia yang lain?
Tidak ada salahnya memuliakan dan memuji baginda rasulullah s.a.w. Malah sememangnya digalakkan memuji dan memuliakan Muhammad s.a.w. lebih-lebih lagi pada bulan kelahiran baginda selagi ia tidak sampai menyamatarafkan junjugan besar Muhamad s.a.w. dengan sifat-sifat ketuhanan.
“Allahumma Sholli Alaa Sayyidina Muhammad Wa alaa Alihi Sayyidina Muhammad (ya Allah kurniakanlan rahmat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. dan ke atas keluarga Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.).
“Allahumma Solli ‘ala Saiyidina Muhammad Wa ‘ala ali Saiyidina Muhammad. Ya Rasulullah Ya Habiballah Ya Nabi Allah Salamun Salam Anbiya’ Allah. Khususan Muhammad s.a.w.’’
HAJI Z
KUALA LUMPUR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment