Thursday, February 2, 2012

Ketika berada di Suria KLCC di ibu negara, dua minggu lalu, Awang sempat meninjau kaunter Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibuka bagi pertanyaan dan pendaftaran pengundi. Usaha mengadakan kaunter SPR di pusat membeli belah yang dikunjungi ramai, adalah bagus. Namun Awang perhatikan para petugas tidak agresif. Mereka hanya duduk di depan meja sambil mengharapkan orang ramai datang ke kaunter itu. Alangkah baiknya jika petugas berkenaan boleh berlegar-legar dengan mempelawa atau memujuk mereka yang belum berdaftar untuk mendaftar. Pada Awang, banyak pihak masih tidak agresif dan kreatif dalam pendaftaran pengundi walaupun usaha tersebut digerakkan. Mereka buat tetapi secara ala kadar. Maka tidak menghairankan mengapa sehingga Mei lalu, terdapat 4,312,375 yang layak mengundi masih belum mendaftar. Dengan kata lain, gerakan mendaftar pengundi di negara ini perlu diperhebatkan. Kakitangan awam dan agensi kerajaan pula mungkin boleh diwajibkan mendaftar oleh jabatan masing-masing sebagai salah satu kriteria penilaian. Perlu diingat, mendaftar sebagai pengundi juga adalah sebahagian daripada teras patriotisme. Pada tahun lalu, hanya 156,675 pengundi mendaftar dengan SPR. Di kalangan parti politik, UMNO mencatatkan pendaftaran tertinggi iaitu 24, 818. Ini diikuti DAP (17,790), Pas (17,022), PKR (3,331), MCA (1,467), MIC (355) dan Gerakan (322). Awang terkejut dengan prestasi MCA, MIC dan Gerakan. Apa sudah jadi, DAP jauh lebih cemerlang. Pada Jun tahun ini sahaja khabarnya, DAP sudah mendaftar 13,000 pengundi baru. UMNO cuma sekadar 7,000 hingga 8,000 pengundi. Nampaknya BN terutama MCA, MIC dan Gerakan masih lesu dan tidak serius untuk bangkit. Yang mereka ghairah ialah untuk membuat pelbagai tuntutan termasuk yang keterlaluan. Ia sudah cukup mencerminkan betapa ketiga-tiga komponen itu tidak bekerja keras untuk mendampingi rakyat dan kumpulan sasaran. Parti Gerakan pimpinan Koh Tsu Koon kini seakan lumpuh termasuk di Pulau Pinang. Awang tidak tahu apa yang Tsu Koon buat. Jawatan menteri sudah diberi walaupun partinya kalah teruk. Apakah beliau tidur, masih bermimpi atau memang mahu prestasi BN terus merudum pada pilihan raya depan? Add comment

No comments:

Post a Comment