Wednesday, April 4, 2012

Perjuangan Islam Ditinggalkan, Putrajaya Dikejar Rate This Bekas naib presiden Pas Datuk Dr Hasan Ali, yang dipecat daripada parti itu 8 Januari lepas memberikan lima sebab kenapa beliau rela dilihat berpatah arang berkerat rotan dengan Pas. Dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, Hasan menggariskan sebab-sebab itu ialah: - Pas meninggalkan perjuangan asalnya untuk menubuhkan sebuah Negara Islam dan menggantikannya dengan Negara Kebajikan, yang boleh dilaksanakan di mana-mana negara sekular dalam apa juga sistem dan amalan politik. - Pas sudah hilang pendirian dan ketegasan yang boleh dihormati apabila diperkotakkatikkan oleh rakan sekongkolnya dalam pakatan pembangkang khasnya DAP sehingga menolak bulat-bulat Negara Islam. - Pas terlalu ghairah memimpikan Putrajaya sehingga mengorbankan Islam dengan bersekongkol dengan DAP yang terang merupakan musuh Islam. - Pemikiran ulama di dalam Pas yang ada sekarang sudah “dilarutkan” dengan kehadiran sebanyak 70 peratus “parasit” di dalam kepimpinannya yang membawa kepentingan politik berlainan daripada hala tuju Pas. - Kesetiaan wakil rakyat Pas dalam Parlimen lebih besar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi perhatian besar dan hadir dengan ramai setiap kali ketua pembangkang itu berucap sedangkan ketika Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap, banyak bangku yang kosong. Hasan berkata, Pas kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pas kini sudah menyimpang jauh dan terus hanyut daripada perjuangan asalnya selagi parti itu berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Apa yang dijanjikan kepada masyarakat Islam di negara ini sebelum ini adalah penubuhan sebuah Negara Islam tetapi impian itu sudah mustahil untuk dicapai apabila pakatan pembangkang ditubuhkan dan Pas, atas pertimbangan kepentingan politik semata-mata, telah menyertainya. Yang Pas dapat di Selangor sekarang, samalah akan terjadi di Putrajaya. Kalau mereka (pembangkang) menang atas konfigurasi komponen (parti) yang ada, tak akan adalah Negara Islam, tak akan adalah hukum hudud. Begitu juga pelaksanaan Islam dalam ekonomi, sosial, pertanian dan dasar luar negara. “Jadi bila gabung dengan DAP dan PKR, Pas tak boleh lagilah dengan negara Islam. Ketua Umum PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun tak berminat. “Saya baru 15 tahun dalam Pas. Saya masuk Pas kerana saya nak Islam dan kepimpinan ulama iaitu ‘tagline’ Pas. Itu sebab utama saya masuk Pas. (Tapi) kepimpinan ulama tidak lagi dominan. Negara Islam tak ada lagi, jadi saya nak bergantung ke mana?” katanya. Hasan, yang sebelum ini Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, berkata Pas terpaksa mengubah inti perjuangan kepada Negara Kebajikan. “Negara Kebajikan semua negara boleh buat. Negara di Eropah misalnya, Norway, Sweden pun buat tetapi atas prinsip sekular, mereka tak nampak faktor agama. “Dalam keadaan banyak umat Islam bergantung harapan kepada Pas, parti itu sendiri menolak Negara Islam. Alasan yang dahulunya dikatakan oleh Pas sendiri bahawa ia dituntut oleh Islam telah tiba-tiba diputar belitkan oleh Pas juga bahawa tiada disebut dalam al-Quran,” katanya. Menyentuh cita-cita Pas untuk menawan Putrajaya, Hasan berkata beliau tidak mempertikaikannya semasa masih berada di dalam parti itu tetapi tidak mahu Islam dikorbankan dalam usaha berkenaan. “Orang Pas mungkin dah tak sabar nak jadi menteri, itu yang nak ke Putrajaya, itu agak sayalah, sampaikan prinsip perjuangan diketepikan. Dalam soal ini, saya tidak setuju. “Saya dari awal lagi sudah menentang Negara Kebajikan ni. Walaupun Putrajaya itu penting tetapi mendaulatkan Islam, Melayu dan Raja adalah matlamat perjuangan politik kita,” katanya. Hasan berkata tarikan ke Putrajaya itu sangat kuat disebabkan Pas terus digula-gulakan dan dikipas oleh pemimpin parti pembangkang, dan banyak kepimpinan Pas sekarang rela memejamkan sebelah mata walaupun mereka mungkin sedar Pas sedang diperalatkan oleh rakan pakatan untuk mencapai cita-cita itu. “Bila ke Putrajaya sekalipun, akan berlaku perebutan kuasa antara Pas, DAP dan PKR dalam kementerian-kementerian penting. Dalam pakatan pembangkang pun tak kukuh kerana ini sekadar gabungan tidak kukuh, dan bukannya desakan kemahuan ikhlas dan suci untuk mendaulatkan Islam. from..http://terompahbesi.wordpress.com/2012/02/10/perjuangan-asal-ditinggalkan-putrajaya-dikejar/

No comments:

Post a Comment