Kenapa Pas-DAP boleh, Pas-UMNO tak boleh?
SAYA
terpanggil untuk bersama-sama memberi pandangan berhubung pembentukan
kerajaan perpaduan antara Pas dan UMNO kerana ia adalah satu titik
permulaan yang sangat baik ke arah penyatuan umat Islam, khususnya orang
Melayu di negara ini.
Cukuplah selama ini Melayu berpecah kerana
perbezaan ideologi politik. Sebaliknya carilah segera titik persamaan
yang boleh mengembalikan kekuatan Melayu di tanah air tercinta ini.
Sebenarnya,
titik persamaan utama mereka sudah terlalu jelas dan tak perlu dicari
lagi. Ini kerana secara umum semua orang Melayu di Malaysia adalah
beragama Islam. Maknanya, mereka menyembah satu Tuhan, Allah SWT,
menghadap kiblat yang sama, Baitullah di Mekah, berpegang kepada ajaran
kitab yang sama al-Quran dan berpenghulu yang sama, Nabi Muhammad SAW.
Jadi, dari segi akidah atau kepercayaan, tidak ada sebab mereka tidak
boleh bersatu.
Cuma mereka berpecah kerana ideologi politik.
Melayu UMNO dan Melayu Pas. Kenapa harus terjadi begini? Sedangkan
hakikatnya, kedua-dua parti memperjuangkan Islam dan dikuasai orang
Islam.
Di sinilah perlu wujudnya satu kesedaran yang sangat mudah
untuk diperakui di kalangan seluruh umat Islam. UMNO dan Pas hanyalah
parti politik, bukannya agama! Agama kita semua hanyalah satu, iaitu
Islam. Sehubungan itu, sama ada kita menyertai Pas atau UMNO, kita tetap
beragama Islam. Tidak ada hukum Islam yang menyatakan semua orang Islam
wajib menyertai atau menyokong parti Pas.
Namun, apa yang
berlaku selama ini, orang Pas berpendirian setiap orang Islam mesti
menjadi ahli atau penyokong Pas. Kalau tidak, mereka bukan orang Islam.
Apakah ertinya semua ini? Adakah orang Pas sudah beranggapan atau mahu
menyamakan Pas itu dengan agama? Pas itu Islam dan Islam itu Pas? Kalau
begitu, bagaimana dengan orang Islam di luar Malaysia? Adakah mereka
juga tidak Islam kerana tidak menjadi ahli atau menyokong Pas?
Hakikatnya,
orang Islam tetap orang Islam, selagi mereka berpegang dan mengamalkan
Rukun Islam. Ia tidak boleh dipertikaikan sama sekali seperti yang
dilakukan orang Pas terhadap orang UMNO dan perkara ini amat jelas dalam
al-Quran ayat 94 Surah An-Nisa yang bermaksud;
"Wahai orang yang
beriman, apabila kamu pergi berperang pada jalan Allah (untuk membela
Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan
sebaik-baiknya) dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada
orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam dan
mengucap dua Kalimat Syahadat): "Engkau bukan orang yang beriman",
(lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya
yang merupakan) mata benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). Janganlah
kamu gelap mata pada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada
disediakan limpah kurnia yang banyak.
Demikianlah juga keadaan
kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan
memberi salam dan mengucap dua Kalimat Syahadat), lalu Allah
mengurniakan nikmat-Nya kepada kamu. Oleh itu, selidikilah (apa-apa jua
lebih dahulu dan janganlah bertindak terburu-buru). Sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati dengan mendalam akan segalanya yang kamu lakukan."
Ayat
di atas juga menyarankan umat Islam tidak boleh terburu-buru
berprasangka buruk. Oleh itu, pemimpin Pas juga tidak harus terburu-buru
berprasangka buruk dengan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan antara
parti itu dan UMNO.
Sebagai, umat Islam, mereka perlu memahami
tuntutan ukhuwah Islamiah yang memberi keutamaan kepada perpaduan sesama
ummah terlebih dahulu dan bukannya mendahulukan orang bukan Islam
seperti yang berlaku dalam penubuhan kerajaan pakatan antara Pas dan DAP
di Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
Dalam hubungan ini, saya ingin bertanya kepada pemimpin Pas, terutama Datuk Nik Aziz Nik Mat satu soalan:
"Yang
manakah lebih baik, Pas bersatu dengan UMNO yang ahli dan pemimpinnya
majoriti orang Melayu beragama Islam atau Pas bersatu dengan DAP yang
ahli dan pemimpinnya majoriti orang yang terang-terang menentang status
negara Islam dan kepemimpinan Islam di Malaysia?"
KHAIDIR AHMAD
khaidir@tv3.com.my
Putrakencana :
Demi
kelangsungan Politik Malaysia maka hendaklah kita Umat Melayu Islam
bersatu kembali. Janganlah kita bersatu dengan orang-orang kafir yang
terang-terang memusuhi Islam dan memusuhi Melayu demi menegak agenda
Malaysia...Malaysia mereka yang tidak kunjung padam.
Renunglah anak cucu kita ketika ini, macamana mereka akan hidup puluhan tahun nanti.
Adakah mereka akan hidup di bawah penguasaan politik Melayu Islam atau hidup di bawah politik bangsa pendatang ini.
Fikir-fikirlah nasib anak cucu kita nanti.
No comments:
Post a Comment