Tuesday, June 5, 2012

Yang muda didokong, yang pertengahan dijunjung & yang veteran disanjung !

 
 
 
 
 
 
Sila beri bintang?

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara salah satu kumpulan yang menjadi tumpuan utama beliau ialah golongan muda.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tindakan Perdana Menteri itu adalah langkah tepat memandangkan senario dan landskap pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah jelas menunjukkan bahawa pengundi muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti yang bertanding.
Katanya, lanjutan itu Perdana Menteri dilihat berusaha melakukan pelbagai pendekatan bagi menjalin hubungan rapat dan mesra dengan golongan berkenaan kerana bagi Perdana Menteri golongan generasi muda ini perlu merasakan bahawa mereka tidak terasa terpisah sebaliknya bersama-sama menyumbang idea serta pandangan berhubung pelbagai isu yang berlaku di negara ini.
“Kesungguhan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO itu terserlah apabila beliau turut menjemput semua peringkat masyarakat terutamanya generasi muda memberikan pandangan mereka terhadap Bajet 2012 baru-baru ini.
“Jika dikaji banyak juga cadangan dan pandangan daripada golongan berkenaan diterima oleh Perdana Menteri dan dimasukkan dalam pembentangan bajet tersebut. Keikhlasan Perdana Menteri dalam mendekatkan kepimpinan negara dengan generasi muda juga terserlah apabila beliau berhubung dengan kumpulan berkenaan melalui facebook,twitter dan blog.
“Apa yang mengagumkan Najib bersedia mengadakan dialog dengan mereka melalui program bertemu rakan facebook yang bukan sahaja diadakan di semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas.
Melalui pendekatan berkenaan jelas beliau, ia memberi peluang kepada generasi muda untuk berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri.
“Mereka bukan sahaja mendengar penjelasan berhubung isu semasa, malah diberi kesempatan meluahkan perasaan dan pandangan mereka”, katanya.
Jelas beliau lagi apa yang menarik dan menjadi perhatian ramai, selain berkongsi pandangan dalam sesuatu isu, Najib juga bersedia turut ke bawah bagi berkongsi hobi dengan mereka apabila turut menonton perlawanan bolasepak bersama-sama melibatkan pasukan Harimau Malaya mahupun kelab pilihan beliau, Manchester United.
Semua ini menjadi bukti bahawa Perdana Menteri amat mengiktiraf peranan generasi muda dan memahami betapa pentingnya sokongan golongan ini diraih terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
“Justeru pelancaran slogan BN PILIHAN ORANG MUDA oleh Perdana Menteri baru-baru ini tepat pada masanya. Dalam situasi di mana pilihan raya umum akan datang bakal menyaksikan lebih 38 peratus pengundi adalah golongan muda maka BN perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati golongan ini.
“Matlamat bukan sekadar untuk meraih kuasa politik semata-mata tetapi untuk memastikan penglibatan golongan muda dalam bersama-sama membangunkan negara.
“Seperti mana hasrat Perdana Menteri, beliau mahu golongan muda memahami betapa besar dan sukarnya tanggungjawab memimpin, lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat majmuk di Malaysia,” tambahnya.
Namun begitu dalam soal ini, kata beliau semua pihak khususnya pergerakan sayap sama ada Pemuda mahupun Puteri perlu memahami dan melaksanakan pendekatan yang boleh menarik golongan muda menyokong dan menyertai BN.
”Kita perlu memberikan isyarat kepada mereka bahawa kita bukan sekadar mahu sokongan mereka malahan akan turut membuka peluang dan ruang kepada golongan muda untuk sama-sama dalam barisan kepimpinan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.
”Atas sebab itulah ramai yang melihat dalam pilihan raya umum akan datang lebih banyak muka baru daripada kalangan generasi muda perlu diketengahkan untuk menjadi calon.
”BN Harus mempunyai keberanian untuk melaksanakan langkah ini kerana senario politik sudah berbeza yang mana kita menyaksikan di banyak tempat di luar semakin ramai golongan muda diketengahkan untuk memimpin negara”, katanya.
Oleh itu jelas beliau lagi pendekatan politik yang sama perlu dilakukan oleh BN dalam usaha memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan taktik politik kotor pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian politik songsang mereka.
”Kita harus ingat bahawa pembangkang tidak mustahil akan meletakkan ramai calon muda dalam pilihan raya umum akan datang.
”Menang atau kalah menjadi perhitungan kedua kerana tujuan mereka adalah untuk menunjukkan kepada generasi muda kononnya mereka lebih terbuka memberikan ruang kepada golongan berkenaan menjawat jawatan dalam politik termasuk bertanding dalam pilihan raya”, ujarnya.
Namun begitu beliau menjelaskan hasrat dan cadangan meletakkan lebih ramai calon muda dalam pilihan raya dan sekaligus kepimpinan negara bukanlah bertujuan untuk mengenepikan sama sekali golongan pertengahan dan veteran di dalam UMNO dan BN.
”Sebaliknya kita ingin menyaksikan satu kombinasi yang mantap membabitkan golongan muda, pertengahan dan veteran dalam melayari arus kepimpinan parti dan negara.
“Sementara penglibatan golongan muda amat diharapkan bagi memenuhi tuntutan semasa berikutan peningkatan pengundi muda dalam pilihan raya, kita juga perlu bersedia untuk memastikan golongan berpengalaman dan masih bertenaga untuk menyumbang kepada pembangunan parti dan negara tidak dipinggirkan”, katanya.
Dalam erti kata lain tambah beliau UMNO dan BN perlu memberi isyarat kepada rakyat bahawa barisan kepimpinan yang ingin ditampilkan oleh parti itu merangkumi golongan muda sebagai pewaris kepimpinan negara, golongan pertengahan penyambung perjuangan dan golongan veteran sebagai pembimbing ke arah kejayaan.
“Pendek kata, yang muda didokong, yang pertengahan dijunjung dan yang veteran disanjung. Melalui cara sedemikian sudah pastilah ia akan memberikan pengertian kepada rakyat bahawa BN dan UMNO tidak pernah meminggirkan mana-mana kelompok dalam parti itu apatah lagi mengamalkan sikap lepas madu sepah dibuang”, ujarnya.
Jelas beliau hakikatnya kombinasi golongan muda, pertengahan dan veteran sememangnya sudah menjadi satu tradisi unik dalam BN dan UMNO pada setiap kali pilihan raya.
Ini kerana menurutnya UMNO dan BN sentiasa bersedia untuk melakukan perubahan tetapi dalam masa yang sama kekuatan parti diperkukuhkan melalui gabungan kepimpinan bercorak sedemikian.
”Inilah yang turut menjadi formula kejayaan BN mentadbir negara selama ini. Saya percaya dan yakin jika formula ini diteruskan BN akan mampu meraihkan sokongan daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang dan sokongan tersebut bukan sahaja akan datang daripada golongan muda tetapi juga semua peringkat umur pengundi.
”Bagi kita di dalam Pergerakan Pemuda UMNO, kita akan terus bersedia melaksanakan pelbagai program dan aktiviti bagi mendekatkan parti dengan golongan muda. Karnival Kerjaya yang dianjurkan merupakan salah satu pendekatan yang dilihat cukup berkesan bagi usaha tersebut,” tambahnya.
Selain itu jelas beliau Pemuda juga akan terus melaksanakan program bagi melahirkan barisan kepimpinan muda yang suatu hari kelak bakal mewarisi kepimpinan negara.
”Perlu dingat sekarang bukan lagi masa untuk kita besikap sambil lewa dalam berhadapan dengan cabaran pilihan raya umum akan datang. Kita perlu bersedia mengatur strategi dan memantapkan misi bagi memastikan UMNO dan BN mencapai kejayaan cemerlang dalam pilihan raya tersebut.
“Kita percaya dengan kesungguhan kepimpinan parti yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencetuskan gagasan 1Malaysia di mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian diutamakan, rakyat termasuk generasi muda akan melihat BN pilihan terbaik mereka”, katanya.
Mengambil peringatan Perdana Menteri bahawa tiada kecacatan pada jenama BN, beliau yakin tidak ada sebab untuk rakyat daripada mana-mana peringkat usia menolak kehadiran BN selagi perkhidmatan yang diberikan jentera BN menepati cita rasa serta mengambil kira kehendak rakyat.
”Marilah kita bersama-sama memenuhi impian Perdana Menteri dengan berusaha melaksanakan misi untuk meraih sokongan rakyat demi masa depan bangsa, agama dan negara,” ujarnya lagi. -
Sumber: MediaUMNO

Tinggalkan Jawapan

No comments:

Post a Comment