Tuesday, January 17, 2012

petikan dari horizontimur….. penulisan yang menarik….utk tatapan semua.. Kejadian dua protes jalanan dalam tempoh dua minggu baru-baru ini mengingatkan saya kepada tragedi 13 Mei yang tercatat sebagai peristiwa hitam dalam lipatan sejarah negara. Berdasarkan Kertas Putih yang dikeluarkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Trajedi 13 Mei: Satu Laporan, tragedi ini tercetus akibat letusan pergeseran antara kaum terutamanya di Semenanjung Malaysia. Sterling Seagrave dalam bukunya Lords of the Rim juga menyifatkan 13 Mei sebagai satu akibat daripada perasaan tidak puas hati antara etnik Cina dan Melayu yang telah terpendam lama sejak penjajahan British lagi. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad pula, perasaan keharmonian antara kedua-dua etnik ini hanya wujud secara lahiriah sahaja dan tidak secara dalaman (Dilema Melayu, 2003). Oleh itu, ketiadaan persefahaman yang erat antara kaum ini dan ditambah lagi dengan kegawatan ancaman komunis ketika itu menyebabkan terdapat perasaan syak wasangka antara kedua-dua kaum tersebut. Akhirnya, selepas keputusan Pilihanraya Umum 1969 diumumkan, perarakan jalanan kaum Cina pada 11 Mei 1969 yang banyak menghamburkan kata-kata kesat terhadap orang Melayu umpama menyimbah minyak ke atas bara api dalam sekam. Perarakan ini diadakan bagi merayakan kemenangan Parti Gerakan dan DAP di Selangor yang melebihi daripada kerusi yang mereka menangi pada pilihanraya umum sebelumnya. Kejayaan ini telah melupakan penyokong-penyokong kedua-kedua parti pembangkang tersebut kepada sensitiviti antara kaum di negara ini. Mereka tanpa segan silu menjerit “Mati Melayu, Sakai pergi mas[u]k hutan!,” “Butoh Melayu,” “Apa ini Melayu kita negeri dia sudah per[i]ntah. Ini negeri bukan Melayu punya” dan lain-lain lagi (Trajedi 13 Mei: Satu Laporan). Kaum India juga tidak ketinggalan. Menurut Seagrave, “racial insults were yelled at Malay bystanders, and Chinese kids in the group shouted, ‘Kuala Lumpur is Chinese now,’ while young Indians shouted, ‘Malays are powerless.’” Mengikut rekod, berlaku pergaduhan kecil antara orang Melayu dengan orang Cina dan India di Setapak. Namun, pergaduhan ini menjadi bertambah buruk apabila masing-masing mula melontarkan botol dan batu. Apabila amarah mula menguasai akal dan pertimbangan, senjata mula digunakan kedua-dua belah pihak. Tindakan luar batasan ini terus merebak di seluruh Kuala Lumpur dan seterusnya negara mengakibatkan 196 orang terbunuh dan 439 orang tercedera. Banyak harta benda awam dan persendirian musnah. Kenderaan dibakar. Rumah dan kedai dipecah masuk. Harta awam dirosakkan. Pada hari ini, telah lebih 38 tahun negara meninggalkan sejarah hitam itu. Kita telah bangkit semula dan banyak program sama ada oleh kerajaan, NGO atau persendirian diadakan supaya kita warga Malaysia kembali erat dan memahami satu sama lain dengan lebih mendalam. Sikap hormat-menghormati yang diamalkan berjaya memastikan rakyat Malaysia hidup dalam suasana yang harmoni. Kesejahteraan sosial ini secara langsung telah memberikan platform kepada ekonomi negara untuk berkembang dan menarik perhatian pelabur asing untuk melabur di negara ini. Ia juga telah menjamin kestabilan politik negara kita. Tetapi, mungkin persefahaman yang disangka masih seperti mana yang disifatkan oleh Tun Mahathir pada awal kemerdekaan dahulu. Jika tidak masakan HINDRAF tanpa rasa hormat menjajah jalan-jalan di Kuala Lumpur minggu lalu. Ya, tuntutan mereka tidak sedikitpun menyentuh secara langsung hak keistimewaan Bumiputera. Ya, mereka juga tidak mencaci Melayu atau kaum lain. Tetapi mereka mendakwa peristiwa di Kg. Medan pada 2001 adalah satu rancangan jahat kerajaan di bawah pengaruh UMNO untuk melakukan pogrom atau pembersihan kaum dengan membunuh lebih 100 orang India di situ. Dakwaan ini walaupun ditujukan kepada UMNO, tetapi cubit peha kanan, peha kiri terasa juga. Seorang sahabat Melayu saya yang mempunyai seorang rakan karib etnik India kini mula merasa janggal untuk bertemu dengan kawannya itu. Isu HINDRAF ini juga menyebabkan persahabatan antara saya dan rakan-rakan India saya sedikit terjejas. Pada pengamatan saya, ini berlaku kerana kebanyakan etnik India yang menyokong HINDRAF menggunakan ungkapan ‘Melayu’ apabila menyatakan bahawa mereka telah dipinggir dan ditindas selama ini. Walaupun, memorandum HINDRAF kepada Gordon, Perdana Menteri Britain, menyebut UMNO, tetapi ia telah digeneralize sebagai Melayu. Api perkauman bakal tercetus kembali sekiranya kita tidak hati-hati. Permohonan bantuan HINDRAF daripada Ratu England juga seolah-olah menghina Raja-Raja Melayu yang menjadi lambang kedaulatan negara ini. Prinsip Rukun Negara yang kedua – kesetiaan kepada Raja dan Negara, yang menjadi asas kesatuan kita nampaknya tidak diguna pakai oleh HINDRAF. Orang Melayu, terutamanya, amat sensitif apabila Seri Paduka Baginda Raja-Raja dihina. Ini adalah kerana pertalian yang wujud antara mereka sejak berlakunya sumpah taat setia antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada Baginda Raja-Raja Melayu. Bukanlah menjadi tujuan tulisan ini untuk memarakkan api perkauman. Harap dijauhkan Allah s.w.t.. Walaupun diri ini tidak merasai penderitaan 13 Mei, tetapi melalui cerita-cerita lisan orang-orang lama dan juga pembacaan daripada berbelah-belah pihak, terasa tidak tertahan jika peristiwa hitam itu berulang kembali. Cuma dikhuatiri ia akan berlaku semula. Beringatlah dan berwaspadalah. Kita lemah kerana tiada persefahaman yang sebenarnya antara kita semua. Seharusnya, perbezaan ini menguatkan kita. Kegusaran HINDRAF jika direnung secara mendalam mungkin ada asasnya, tetapi pendekatan yang diambil tidak kena. Mengapa hanya segolongan kecil etnik India yang kaya raya? Mengapa golongan ini tidak membantu saudara-saudara seagama yang lain? Apa yang pemimpin MIC lakukan selama ini? Memenuhkan kocek sendiri sehingga lupa kepada orang yang di bawah? Orang Melayu dengan baik hati mengundi wakil-wakil India di kawasan-kawasan mereka. Ijok merupakan kawasan yang teramai etnik India di Malaysia, tetapi masih bukan majoriti. Orang Melayu merupakan majoriti di situ. Diberikan juga kerusi itu kepada MIC. Dato’ Seri Samy Vellu yang menjadi Ahli Parlimen di Sg. Siput juga bertanding di kawasan majoriti Melayu. Tetapi masih menang! Dato’ Seri Kayveas di Taiping juga menang kerana Melayu. Kawasan DUN majoriti bukan Melayu tidak ramai mengundi beliau walaupun wakil BN menang di kawasan-kawasan berkenaan. Itu korban Melayu. Kini terpulang kepada etnik India sendiri untuk memajukan diri sendiri. Gunakan wakil-wakil rakyat anda sepenuhnya. Jangan sampai terungkap kembali perbualan seumpama ini, “one towkay recently told a Malay official: “If it weren’t for the Chinese, you Malays would be sitting on the floor without tables and chairs.” Replied the official: “If I knew I could get every damned Chinaman out of the country, I would willingly to go back to sitting on the floor.” (Time, 1969).

No comments:

Post a Comment